Berita | Anak ‘memberontak’, enggan kembali bersama Loh, kata Mufti Perlis

GEORGE TOWN: Percubaan Loh Siew Hong membatalkan pengislaman anak-anaknya menjadi kebimbangan utama Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

Peguam Loh semalam berkata, penukaran agama anak-anak itu akan dicabar melalui semakan kehakiman.

Dalam mesej video yang dimuat naik di Facebook, Asri berkata, anak perempuan kembar Loh berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun telah mengamalkan Islam sepenuhnya dan mahu kekal sebagai orang Islam.

“Sepertimana dilaporkan media sebelum ini, Loh tidak kisah dengan agama anaknya itu, yang penting dapat bersama dengannya.

“Baru sehari ni, ibunya kata nak tukar agama (anak-anak tersebut).

“Saya percaya mereka nak ibu mereka, tetapi bukan bererti bertukar ke agama Hindu,” katanya.

Beliau berkata, dalam kes ini, di pihak orang Islam tidak pernah timbul niat memisahkan Loh dengan anak-anaknya. Bahkan, katanya, seorang ustazah bernama Nazirah, penjaga anak-anak tersebut sepanjang ketiadaan Loh, yang mula-mula menghubungi wanita tersebut untuk menyatukan mereka.

“Kami tidak begitu kisah mengenai soal hak penjagaan, tetapi sebagai orang Islam, kita wajib memastikan anak-anak ini terus menganut Islam jika ia mengikut kehendak mereka.

“Melainkan mereka sendiri ‘give up’, tak nak Islam, tertipu dengan bapa yang beragama Islam, itu urusan luar keupayaan kita,” katanya.

Katanya, beliau tidak mahu melihat kes di mana ibu atau bapa yang mendapat hak penjagaan berjanji mengekalkan anak-anak sebagai orang Islam, kemudian membawa lari ke luar negara, dan anak berkenaan tidak dapat mengamalkan ajaran Islam.

Beliau menyebut kes Natrah, atau Maria Bertogh, seorang wanita Belanda dibesarkan oleh keluarga beragama Islam yang dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya ketika berusia 13 tahun dan pulang ke Belanda tidak lama kemudian. Ini mencetuskan rusuhan perkauman di Singapura pada 1950 yang mengakibatkan 18 terkorban dan 173 cedera.

Asri berkata, kenyataannya mengenai anak-anak Loh yang enggan kembali kepada ibu mereka adalah berdasarkan peristiwa pada hari wanita tersebut bertemu semula dengan anak-anaknya.

“Anak-anaknya dibawa ke balai polis untuk diserahkan kepadanya. Mengapa ketika itu Loh tidak mengambil anaknya?” soalnya.

“Jawapannya Loh sendiri tahu, anak-anaknya memberontak, tidak mahu mengikutnya, itu sebabnya. Itulah jadi punca anak-anaknya, dgn persetujuan Loh dimasukkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan perintah mahkamah Kangar sehingga 9 Mac.

Beliau berkata, persepsinya seolah-olah Loh menjadi mangsa, dihalang melawat anak-anaknya oleh pihak berkuasa agama, sedangkan hal ini sudah tiada kena-mengena dengan pihak berkuasa agama. – FMT

oleh: Predeep Nambiar

kredit foto: MalayMail

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: