Berita | Maszlee pembohong, pengundi Simpang Renggam pasti akan ‘jatuh hukum’ pada PRN Johor, kata Onn Hafiz

SIMPANG RENGGAM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Onn Hafiz Ghazi berkata, pengundi di Simpang Renggam telah masak dengan pembohongan Maszlee Malik dan akan menghukum Ahli Parlimen itu pada pilihan raya negeri (PRN) di Johor.

Beliau juga amat yakin DUN Layang-Layang dan DUN Machap akan dimenangi dengan majoriti lebih besar berbanding pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan kemenangan tipis di dua kerusi itu.

“Ini kerana rakyat sudah sedar tentang ‘tembelang’ yang dibuat Maszlee. Ramai kata tertipu dan anggap Maszlee Malik pembohong. Sebab sebelum pilihan raya macam-macam dia janji untuk DUN Machap dan DUN Layang-Layang,” katanya kepada FMT ketika ditemui semalam di Pejabat Khidmat BN di Simpang Renggam.

Pada PRU14 Onn Hafiz bertanding di DUN Layang-Layang dan menang di kawasan itu dengan majoriti tipis 364 undi.

Bagaimanapun, pada PRN Johor kali ini, BN mempertaruhkan Onn Hafiz di DUN Machap yang pada PRU14 hanya dimenangi dengan majoriti 404 undi. Maszlee pula akan bertanding di DUN Layang-Layang mewakili PKR.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga cicit pengasas Umno, Onn Jaafar berkata, antara janji besar semasa kempen PRU14 yang tidak ditunaikan Maszlee ialah mahu memberi tol percuma dan memansuhkan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Ramai menyifatkan kemenangannya adalah berdasarkan pembohongan yang dibuat beliau semasa pilihan raya dan saya cukup yakin dia akan dihukum pada PRN Johor ini,” katanya.

Onn Hafiz berkata, pengundi di DUN Layang-Layang dan Machap sudah matang dan menyifatkan satu undi kepada PH seperti menyokong penipuan mereka.

“Jadi takkanlah orang Layang-Layang nak bagi undi lagi orang macam ini? Kamu nak bayar gaji kepada pembohong dua kali. Itu ibaratnya dia ini pembohong. Orang Layang-Layang dan Machap sudah matang dan tahu tembelang dia. Ini sentimen sekarang,” katanya.

Beliau yang juga anak saudara Bendahari Agung Umno, Hishammuddin Hussein menafikan lari ke DUN Machap dan takut untuk berlawan dengan Maszlee di DUN Layang-Layang, tetapi sebaliknya berkata, sentimen itu dipolemikkan dan dimainkan oleh pembangkang.

Tegasnya, keputusan parti mencalonkannya di DUN Machap kerana ada strategi tertentu untuk memenangi PRN.

“Saya ini orang parti dan dalam konteks parti bila kita diamanahkan untuk bertanding di mana sahaja kita diletakkan, kita akan akur.

“Contohnya Lim Guan Eng dulu bertanding di Melaka lepas itu bertanding di Pulau Pinang. Sama juga dengan ayahnya (Lim Kit Siang) tiba-tiba bertanding di Johor. Jadi adakah lari dari kawasan?” katanya.

Bagi DUN Machap, Onn Hafiz yang juga bekas Exco kerajaan negeri bakal berdepan saingan empat penjuru, iaitu Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional (PN), calon parti MUDA, R Sangaran dan calon Pejuang yang juga Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh. – FMT

oleh: Mohamad Fadli

kredit foto: MalaysianGazette

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: