Berita | Perjalanan sukar DAP untuk PRN Johor

Ketika parti politik sedang bergelut mendapatkan sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac, penganalisis berkata DAP mungkin berdepan kemerosotan sokongan seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka dan Sarawak di mana ramai pengundi Cina mengalihkan sokongan yang pernah mereka berikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) empat tahun lalu.

Pada PRN Melaka November lalu, MCA di bawah Barisan Nasional (BN) dilihat berjaya membuat “comeback” dengan memenangi Machap Jaya dan Kelebang setelah ditolak pengundi Cina dalam beberapa edisi PRU sebelum ini.

MCA juga memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019, merampas kerusi itu daripada Pakatan Harapan (PH).

Pada PRU14, kerusi Parlimen Ayer Hitam berjaya dikekalkan Presiden MCA Wee Ka Siong menewaskan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong walaupun negeri itu jatuh buat pertama kalinya ke tangan PH.

Perkembangan terbaru di Melaka dan Sarawak menimbulkan persoalan mengenai nasib DAP yang dahulunya mempunyai sokongan hampir tidak berbelah-bahagi daripada pengundi Cina.

Chan Lay, 66, yang akan mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling pada Sabtu berkata, dia sudah tidak percaya dengan DAP kerana janji-janji yang tidak ditunaikan.

“Isu Sekolah Foon Yew mereka tipu, nak hapuskan tol juga tipu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sekolah itu juga menjadi bahan kempen pada PRN Johor apabila bekas perdana menteri Najib Razak dijemput berkempen ke sekolah tersebut.

Tindakan sekolah itu membenarkan Najib yang disabitkan bersalah dalam isu SRC International dipertikaikan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

Chan yang menyara hidup dengan menjual kek dan kuih di kawasan Perling berkata, meskipun dia memilih PH semasa 2018, kali ini dia lebih condong terhadap BN.

Penganalisis politik berpengkalan di Singapura, Oh Ei Sun berkata sentimen itu masih tebal walaupun PH sudah dua tahun tidak menjadi kerajaan.

“Tidak dinafikan ramai pengundi Cina yang kecewa dengan DAP dan Pakatan Harapan, kerana tidak menunaikan permintaan masyarakat Cina yang sudah lama dibuat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Namun katanya, ramai yang tidak bersedia untuk memberi undi sama ada kepada BN atau Perikatan Nasional (PN) dan menyebabkan mereka memilih untuk duduk rumah dan tidak mengundi.

Seorang lagi pengundi Perling yang hanya mahu dikenali sebagai Heng berkata, dia masih ragu-ragu untuk keluar mengundi ekoran angka Covid-19 yang meningkat.

Sikap ini dapat dilihat di kalangan pengundi Cina yang rata-rata tidak berminat untuk bercakap tentang politik, atau tidak mahu keluar mengundi.

Di Yong Peng, seorang pengusaha bengkel kereta yang hanya mahu dikenali sebagai Ong berkata dia tidak akan keluar mengundi pada Sabtu.

Heng berkata, dia masih memilih DAP kerana isu rasuah yang menyelubungi BN.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan bertindak cepat jika ada ahli politik Dap terlibat rasuah kerana BN memegang kuasa di pusat.

“Jadi kita bagi sahaja pentadbiran kerajaan negeri kepada pembangkang,” katanya.

Heng turut menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap Liew Chin Tong, pengerusi DAP Johor yang dianggap sebagai orang luar.

Liew tewas kepada Wee di Ayer Hitam pada PRU14 dengan hanya 303 undi.

Liew juga terpalit dengan perkelahian antara kem-kem berlainan dalam DAP Johor, meskipun berjaya mengekalkan jawatan pengerusi negeri tersebut tahun lepas.

Beliau sebelum ini mengakui pergaduhan dalam parti majoriti Cina itu mampu memberi kesan kepada keputusan PRN Johor.

Bagi kawasan pekan seperti Yong Peng, sukar mengagak sentimen masyarakat Cina apabila ramai tidak mahu bercakap mengenai politik, selain mempunyai syak wasangka terhadap orang luar.

Peratusan keluar undi yang rendah ini bakal menjejaskan undi DAP seperti mana berlaku di Melaka.

Menurut Oh, “protes senyap” oleh pengundi Cina ini yang disasarkan oleh Warisan dan Muda yang memberi bayangan sebagai pilihan ketiga.

Najib pula digemari oleh perniagaan besar orang Cina, manakala usahawan kecil dan sederhana Cina berpecah antara BN dan DAP.

MCA bertanding 15 kerusi manakala DAP bertanding 14 kerusi pada PRN Johor.

Kedua-dua parti itu akan bertembung satu sama lain di semua kerusi yang ditandingi kecuali di Puteri Wangsa yang mana DAP memberi laluan kepada calon Muda.

PN juga tidak ketinggalan merebut undi masyarakat Cina.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam satu ucapan baru-baru ini meredakan kesangsian orang Cina terhadap PAS.

Muhyiddin berkata PAS tidak bercerita mengenai hudud sepanjang pentadbirannya sebagai perdana menteri selama 18 bulan.

Namun bagi Oh, Gerakan di bawah PN masih belum mampu memenangi pengundi Cina dan mereka perlu bekerja keras untuk membuktikan boleh menjadi pilihan kepada segmen pengundi tersebut. – Malaysia Now

oleh: Ahmad Mustakim Zulkifli

kredit foto: ChannelNewsAsia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: