Berita | Peralihan monsun dijangka 14 Mac ini, tengkujuh berakhir
PETALING JAYA: Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 14 Mac ini dan akan berterusan hingga pertengahan Mei nanti, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Menurut Ketua Pengarah METMalaysia Muhammad Helmi Abdullah, permulaan fasa peralihan itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula sejak 3 Nov lalu.
“Ketika Fasa Peralihan Monsun ini, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri Pantai Barat, pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Berita Harian.
Katanya, keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
“Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada ketika tempoh ini serta sentiasa merujuk laman web: www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya. – FMT