Berita | Nasib Anwar ‘dihitung’, kata penganalisis

PETALING JAYA: Penampilan buruk Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor boleh menandakan pengakhiran kerjaya politik Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, menurut penganalisis.

Felo kanan Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata, hari-hari Anwar ‘sudah terhitung’ selepas PH hanya berjaya memenangi 12 daripada 56 kerusi di DUN, sekali gus melemahkan pengaruh gabungan itu di Johor.

“Kekalahan di Johor lebih teruk kerana PRN Melaka dan Sarawak sepatutnya menjadi titik tolak untuk PH mengkaji apa yang silap dan memperkemaskan strategi mereka, tetapi itu tidak pernah berlaku,” katanya kepada FMT.

PH hanya memenangi dua daripada 82 kerusi pada PRN Sarawak pada Dis, sebulan selepas gabungan itu hanya memenangi lima daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.

Sambil menyifatkan prestasi PH pada PRN Melaka sebagai satu ‘bencana’ dan persembahan mereka pada PRN Sarawak sebagai ‘malapetaka’, Azmi berkata PRN Johor adalah kedua-duanya sekali iaitu “bencana dan malapetaka” bagi gabungan yang pernah memerintah negara itu.

Daripada 12 kerusi yang dimenangi PH di Johor, hanya satu dimenangi PKR parti Anwar atas tiket sendiri, apabila calon parti itu, Arthur Chiong, menang di Bukit Batu dengan majoriti tipis 137 undi mengatasi S Suppayah daripada Barisan Nasional.

“Berdasarkan (PRN) Johor, PH kini perlu memutuskan siapa yang akan memimpin mereka pada pilihan raya umum (PRU15) akan datang,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau pasti Pejuang dan Warisan tidak akan menerima Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan dilantik Perdana Menteri jika parti-parti itu menyertai PH untuk membentuk barisan pembangkang.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, PH perlu menggantikan Anwar sebagai ketua mereka jika mereka mahukan peluang untuk memenangi PRU15.

“Anwar telah melakukan terlalu banyak kesilapan politik, dan Johor adalah yang terbaharu dalam beberapa siri kesilapan yang dia lakukan,” kata Chin kepada FMT.

Chin juga menekankan keengganan dalam kalangan kepimpinan PKR untuk mendesak seseorang menggantikan Anwar, sambil menambah ini menunjukkan struktur parti itu adalah “sangat sukar untuk menyingkirkan Anwar.”

“Pemimpin itu sendiri perlu membuat keputusan untuk berundur,” kata Chin. “Jika tidak, tiada siapa boleh menolaknya keluar dari dalam parti.”

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, beliau tidak nampak calon yang berdaya saing untuk mengetuai pergerakan pembangkang menuju ke PRU15.

Dengan Warisan yang menunjukkan prestasi yang lebih buruk daripada PH dalam PRN Johor, Oh juga berkata Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman “terlalu baharu” untuk memegang tampuk pimpinan.

“Nampaknya tidak ada sesiapa dalam PKR, dalam PH, malah lebih luas lagi dalam pembangkang yang boleh mengambil alih daripada Anwar dengan hebat,” kata Oh.

“Seperti yang dibuktikan dengan keputusan PRN Johor, seluruh pembangkang sememangnya berada dalam dilema sekarang.” – FMT

Oleh: ‘Ainin Wan Salleh

kredit foto: TheStraitsTimes

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: