Berita | Harga sawit tinggi, tiada masalah penetapan gaji minimum baharu – Zuraida
Kuala Lumpur: Sektor perladangan tidak berdepan masalah untuk melaksanakan penetapan kadar gaji minimum yang baharu menjelang akhir tahun ini, ujar Menteri KPPK, Zuraida Kamaruddin.
“Bagi industri sawit khususnya, penetapan kadar baharu itu masih berada di bawah paras purata gaji dalam sektor perladangan ketika ini iaitu antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan”.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menggalakkan sektor swasta membuat penetapan gaji minimum RM1,500 bagi membantu pekerja menangani cabaran kos sara hidup, terutamanya bagi pekerja berpendapatan rendah.
Walaupun nilai sebenar kadar baharu belum dimuktamadkan, Kementerian Sumber Manusia menyatakan ia akan berada pada paras sekitar RM1,500 ke bawah.
Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020. – PPI
kredit foto: Kosmo