Berita | Australia sekat eksport alumina, bauksit ke Russia

SYDNEY: Australia mengumumkan lebih banyak sekatan terhadap Russia hari ini susulan pencerobohan ke atas Ukraine dengan melarang semua eksport alumina dan bauksit serta-merta.

Pada masa masa, negara itu juga berikrar untuk menyumbang lebih banyak bantuan senjata dan kemanusiaan kepada Ukraine.

Larangan eksport itu bertujuan memberi kesan kepada pengeluaran aluminium di Russia, yang mana 20 peratus bekalan alumina negara itu bergantung kepada Australia.

Ia berlaku hanya beberapa hari selepas Canberra mengenakan sekatan ke atas oligarki, Oleg Deripaska, yang memiliki pegangan dalam Queensland Alumina Limited iaitu usaha sama antara syarikat aluminium Russia, Rusal dan gergasi perlombongan Rio Tinto, yang berikrar memutuskan semua hubungan perniagaan dengan Russia.

Jurucakap Rio Tinto berkata, syarikat itu sedar mengenai pengumuman kerajaan hari ini berhubung sekatan eksport dan masih dalam proses menamatkan semua hubungan komersial yang ada dengan mana-mana perniagaan Russia.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison hari ini berkata, kerajaannya bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memberi kos dan tekanan maksimum kepada rejim Vladimir Putin untuk berundur dari Ukraine.

Beliau berkata, Australia sudah mengenakan 476 sekatan terhadap individu dan institusi Russia sejak pencerobohan bermula.

Beliau turut mengumumkan Australia akan menderma 70,000 tan arang batu haba kepada Ukraine, berikutan permintaan daripada negara yang terkepung itu.

Sebagai tambahan, Australia akan meningkatkan bantuan kemanusiaannya dengan tambahan AS$22.3 juta (RM93.5 juta) dan akan menyumbang derma tambahan AUD21 juta (RM65.3 juta) bagi bantuan ketenteraan pertahanan kepada Ukraine, termasuk peluru dan perisai badan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, jelas Morrison, kerajaan Australia meluluskan hampir 5,000 visa daripada warga Ukraine yang dipindahkan akibat konflik berkenaan.

Beliau mengumumkan bahawa pelarian Ukraine layak mendapat visa baharu kemanusiaan untuk tempoh tiga tahun bagi membolehkan mereka bekerja, belajar dan mengakses sistem kesihatan negara itu. – AFP

Edited by Berita Harian

kredit foto: The Economic Times

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: