Berita | SOSMA diguna untuk tujuan politik hanya persepsi, kata Hamzah

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menolak dakwaan kononnya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) digunakan bagi tujuan politik.

Katanya, walaupun ada ahli politik yang ditahan di bawah SOSMA, ia hanya persepsi dibuat kononnya mereka menjadi mangsa politik namun sebaliknya penahanan dibuat disebabkan kesalahan yang dilakukan.

“Saya percaya bahawa bila kita bercakap tentang apakah ahli politik ditahan adalah satu salah guna kuasa melalui akta ini, mungkin ada kekhilafan dari segi persepsi terhadap sesuatu perkara yang telah dilakukan (ahli politik) itu.

“Kalau dilihat akta itu sendiri, bawah Subseksyen 4(3) SOSMA dinyatakan dengan jelas seseorang tak boleh di bawah seksyen ini didakwa atas kepercayaan politik atau aktiviti politiknya, maka tak timbul isu politik disalah guna oleh PDRM.

“Pada hemat saya, saya tak pernah lihat polis bermain politik dalam mengambil tindakan undang-undang, kalau nak kata isu ini (SOSMA) dijadikan modal politik ianya tak benar,” katanya ketika mengulung usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA di Dewan Rakyat.

Hamzah turut memberi jaminan bahawa SOSMA tidak akan digunakan untuk tujuan kepentingan politik, salah guna kuasa atau kezaliman sebaliknya ia hanya akan diguna bagi tujuan keselamatan.

Katanya, SOSMA tidak akan dihapuskan sebaliknya kerajaan terbuka untuk ia ditambah baik dalam menjamin keselamatan negara.

Terdahulu, Hamzah membentangkan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA.

Hamzah berkata, perlanjutan selama lima tahun lagi mulai 31 Julai depan, membolehkan pihak berkuasa untuk terus menggunakan peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.

“Peruntukan Subseksyen 4(5) SOSMA perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi memberi ruang masa yang cukup kepada polis melengkapkan siasatan kes kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks,” kata Hamzah.

Hamzah turut menyifatkan pihak yang tidak menyokong usul untuk dilanjutkan Subseksyen 4(5) SOSMA, adalah merupakan golongan yang memberi ruang kepada penjenayah atau pengganas bermaharajalela dalam negara.

Beliau menegaskan, sepanjang menjadi Menteri Dalam Negeri, dia tidak pernah mengarahkan polis menggunakan SOSMA untuk tujuan politik.

Beberapa wakil pembangkang kemudian memaklumkan ia digunakan Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

“Saya tidak tahu, yang lepas, kalau diguna mungkin ada alasan tertentu mengapa ia digunakan,” jelasnya. – FMT

Oleh: Faiz Zainudin

kredit foto: UtusanDigital

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: