Berita | Lembaga pengarah diperdaya wang pelaburan 1MDB diperolehi kembali, kata saksi pendakwaan

Mahkamah Tinggi semalam diberitahu bahawa lembaga pengarah (BOD) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diperdaya apabila pengurusannya memberi bayangan bahawa wang pelaburan 1MDB akan masuk semula ke dalam dana syarikat pada 2014.

Bekas pengarah bukan eksekutif 1MDB Ismee Ismail berkata demikian ketika diminta peguam Muhammad Shafee Abdullah mengulas mengenai taklimat bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir semasa mesyuarat lembaga pada 20 Oktober 2014.

Shafee merujuk saksi pendakwaan ke-13 itu kepada taklimat khusus oleh Azmi semasa mesyuarat lembaga di mana beliau memberitahu Lembaga Pengarah bahawa sejumlah AS$870 juta telah ditebus setakat Oktober 2014 manakala AS$300 juta lagi akan ditebus dalam beberapa hari akan datang.

Ismee, 58, berkata pada masa itu, BOD tidak tahu bahawa wang itu, yang dikatakan Azmi masuk ke Brazen Sky Ltd sebenarnya adalah wang yang dipinjam oleh 1MDB daripada Deutsche Bank.

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Brazen Sky Ltd adalah syarikat perantara tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan rakan sekutunya untuk menghantar pulang wang pelaburan oleh 1MDB.

Shafee: Anda lihat bagaimana Azmi berbohong kepada lembaga pengarah. Apa yang dia lakukan ialah, semua wang yang kononnya masuk ke dalam Brazen Sky tetapi tidak menjelaskan wang itu kembali ke sebuah syarikat bernama Aabar Investments PJS Ltd. Pengarah 1MDB tidak akan mengetahui aspek ini kerana anda perlu bergantung kepada kejujuran pengurusan anda. Sekarang anda tahu kebenarannya, apa komen anda?

Ismee: Saya rasa perkara yang sama saya katakan tadi. Bulan puasa, tak sedap nak cakap. (tidak sesuai untuk diperkatakan pada bulan puasa ini).

Shafee: Tan Sri, kita sedang berada dalam proses pengadilan. Anda masih perlu bercakap benar sepanjang bulan puasa.

Ismee: Saya telah mengatakan ini pada November tahun lepas dan saya akan mengatakan perkara yang sama. BOD telah dikelirukan.

Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan bahawa Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI) tidak sama dengan Aabar Investment PJS, yang merupakan anak syarikat sebenar International PetroIeum Investment Company (IPIC).

Terdahulu, saksi itu bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa bagi melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO), pengurusan 1MDB telah meyakinkan lembaga pengarah untuk meminjam AS$250 juta dan US$975 juta daripada Deutsche Bank Singapore, masing-masing pada Mei dan Ogos, 2014.

Mahkamah diberitahu bahawa AS$223.33 juta dan AS$457.98 juta daripada pinjaman itu telah digunakan.

Sebelum ini, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman mengesahkan bahawa RM49 juta daripada pinjaman bank tersebut yang diambil oleh 1MDB dimasukkan ke dalam akaun bank Najib di AmIslamic Bank.

Pada hari pertama perbicaraan kes pada Ogos 2019, Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kenyataan pembukaan berkata pihaknya akan menunjukkan bahawa sejumlah wang yang berasal daripada pinjaman AS$250 juta dan pinjaman AS$975 juta yang diambil oleh anak syarikat 1MDB, 1MDB Energy Holdings Ltd dari Deutsche Bank Singapore didakwa telah dimasukkan ke dalam akaun bank Najib.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. – Bernama

kredit foto: MalaysiaNow

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: