Berita | Ismee sahkan RM2.28 bilion masuk akaun Najib

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu wang berjumlah RM2.28 bilion milik syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipindahkan ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, mengesahkan perkara itu ketika dirujuk oleh pendakwaan dengan carta aliran jejak wang daripada 1MDB melalui beberapa syarikat dan individu sebelum berakhir dalam akaun peribadi Najib dengan nombor akaun berakhir 694 dan 880.

Saksi pendakwaan ke-13 yang diperiksa semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, dirujuk kepada carta yang menunjukkan jejak aliran wang AS$700 juta daripada dana projek usaha sama 1MDB dan Petrosaudi International Ltd (PSI) berpangkalan di Abu Dhabi yang dipindabkan ke dalam akaun syarikat Good Star Limited dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Melalui beberapa transaksi dalam carta terbabit, Sri Ram menunjukkan salah satu transaksi aliran wang membabitkan Putera Turki Abdullah dari Arab Saudi berjumlah RM30 juta yang dipindahkan masuk ke dalam akaun peribadi AmIslamic Bank milik Najib yang berakhir 694 pada pada 24 Februari dan 14 Jun 2011.

Begitu juga, saksi dirujuk dengan satu lagi transaksi wang berjumlah AS$45 juta yang dipindah masuk ke dalam akaun 880 milik Najib antara 17 Oktober 2014 dan 10 Disember 2014, yang kemudian disahkan Ismee.

Secara keseluruhan, Sri Ram merumuskan bahawa sejumlah RM2.28 bilion dana dipindah masuk ke dalam akaun Najib antara 2011 dan 2014 dan dipersetujui oleh saksi.

Sri Ram kemudian menyoal Ismee sama ada saksi itu kini hendak menukar pandangannya sebelum ini bahawa Najib tidak memperoleh keuntungan peribadi daripada aliran transaksi berkenaan, ketika disoal oleh peguam bela.

Menjawab pertanyaan itu, Ismee berkata, daripada carta aliran berkenaan, beliau boleh melihat beberapa dana daripada 1MDB masuk ke dalam akaun Najib.

“Dokumen ini tidak dirujuk kepada saya sebelum ini… Daripada dokumen ini kini saya nampak aliran (wang),” katanya.

Ismee memberikan keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Ismee bersetuju dengan peguam bela Datuk Hariharan Tara Singh, bahawa pelaburan antara PSI dan 1MDB membabitkan nilai AS$2.5 bilion bukan untuk kepentingan Najib, sebaliknya memberikan keuntungan kepada Kerajaan Malaysia.

Ismee turut bersetuju dengan cadangan Hariharan bahawa projek daripada kerjasama berkenaan bertujuan untuk kepentingan dan keuntungan 1MDB sejajar dengan hasrat syarikat menjalinkan kerjasama antara kerajaan (G2G).

Mahkamah sebelum ini diberitahu, melalui kerjasama itu, 1MDB menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion sebagai modal permulaan yang dibayar secara tunai.

Syarikat PSI pula melabur menerusi aset bernilai AS$2 bilion dengan PSI dan 1MDB bersetuju memberikan diskaun pada nilai AS$1.5 billion.

Pada Oktober 2019, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangan beliau, mendedahkan perjanjian usaha sama itu meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta. – Harian Metro

oleh: Ahmad Johari Mohd Ali

kredit foto: Mohamad Shahril Badri Saali

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: