Berita | Rafizi bawa pasukan ‘jelajah’ jumpa perwakilan mulai Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Calon bagi jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2022, Rafizi Ramli, akan memulakan siri jelajah kempen bersama ‘pasukannya’ bermula Sabtu ini.

Dalam kenyataan hari ini, beliau menolak, sebarang majlis berbentuk kempen mengandungi unsur bermewah seperti makan berbuka puasa, menjamu tetamu yang hadir dan sebagainya.

“Pandangan saya ini mungkin kurang popular tetapi ia sesuatu yang wajar kita halusi sebagai parti yang mendukung reformasi budaya politik.

“Saya minta maaf sekiranya ada yang berkecil hati kerana majlis diadakan di sebelah pagi dan petang dalam bulan Ramadan. Tidak ada jamuan, tidak ada majlis besar, sekadar menyampaikan maklumat dan menjawab soalan-soalan anggota yang hadir,” katanya.

Beliau berkata, mereka juga mengelak sebarang kempen pada waktu malam bagi membolehkan waktu itu digunakan untuk beribadah di bulan Ramadan dan bersama keluarga.

“Kami sedang memuktamadkan lokasi bagi setiap negeri bermula dengan Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan minggu ini. Maklumat lokasi bagi negeri-negeri ini akan diumumkan 24 jam dari sekarang,” katanya.

Kempen Rafizi dan pasukannya bermula Sabtu ini di Johor, dengan lokasi terakhir adalah di Sabah iaitu pada 8 Mei depan.

Semalam, Rafizi menamakan antaranya Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Haron, yang akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR sebagai barisan calon dalam ‘pasukannya’.

Turut dinamakan, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang serta bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivanna.

Sementara, bekas Ketua Wanita PKR Selangor, Rodziah Ismail dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol masing-masing akan bertanding jawatan Ketua Wanita PKR dan Ketua AMK.

Bekas Ahli Parlimen Pandan yang sebelum ini tewas dalam pemilihan lalu bagi merebut jawatan nombor dua PKR, akan dicabar Setiausaha Agung PKR yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – Berita Harian

Oleh: Mohd Nasaruddin Parzi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: