Berita | Polis pastikan PATI Rohingya tidak masuk Perlis
KANGAR: Polis Perlis melakukan pemantauan rapi dalam memastikan tidak ada seorang daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau pagi tadi, dapat melepaskan diri hingga ke Perlis.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, sehingga kini pihaknya terus membuat memantau keadaan semasa yang berlaku di negeri jiran, Kedah selain melakukan pemantauan rapi serta risikan di sempadan negeri berkenaan.
“Kita akan terus membuat pemantauan rapi serta risikan di sempadan negeri dan akan membantu dalam usaha menahan sekiranya ada yang cuba melepaskan diri ke negeri Perlis.
“Setakat ini, pemantauan dilakukan menerusi rondaan biasa seperti rutin yang dijalankan setiap hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada masa sama juga, beliau berkata, kerjasama masyarakat dalam memberi maklumat mengenai keberadaan PATI itu jika didapati berada di tempat mereka juga adalah penting supaya keselamatan masyarakat di negeri ini sentiasa terjaga.
Daripada 528 yang melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 orang tahanan itu, seramai 357 sudah ditemui termasuk enam yang maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi.
Polis Pulau Pinang, Kedah dan Perak turut memperhebatkan gerakan operasi bagi memburu baki 171 pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya yang masih bebas. – Berita Harian
oleh: Aizat Sharif
kredit foto: Danial Saad