Berita | Diskriminasi minyak sawit: Delegasi Malaysia ke Geneva
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Ravi Muthayah mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi mesyuarat substantif pertama berkaitan tindakan Malaysia terhadap Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu diskriminasi industri minyak sawit negara.
Menurut KPPK dalam catatan di laman Facebook hari ini, tindakan terbabit adalah melalui mekanisme Penyelesaian Pertikaian di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“Mesyuarat Penyelesaian Pertikaian 600 (Dispute Settlement 600) berlangsung selama 10 hari mulai 6 hingga 15 Mei, 2022,” kata kementerian berkenaan.
Menurut KPPK, Malaysia telah meminta rundingan dengan EU, Perancis dan Lithuania pada 15 Januari 2021 berhubung langkah tertentu yang dikenakan EU dan negara anggota berhubung minyak sawit dan biobahan api berasaskan tanaman sawit dari Malaysia.
Baru-baru ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan EU pada Mei untuk membincangkan isu berkaitan buruh paksa dan minyak sawit.
Bagaimanapun, ia belum mendapat tarikh untuk bertemu wakil Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat.
Malaysia memfailkan kes berhubung diskriminasi minyak sawit kepada WTO melalui mekanisme Penyelesaian Pertikaian 600 pada tahun lalu, susulan tindakan antiminyak sawit oleh EU dan negara anggotanya. – BERNAMA