PeoplePostInsider

Agong titah doa kesejahteraan Palestin

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan buat rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Israel.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka menzahirkan rasa sangat prihatin dan sokongan kepada rakyat Palestin yang terus dijajah dan ditindas oleh rejim Israel itu.

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka juga menyokong usaha Malaysia untuk terus bekerjasama dengan negara-negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa yang jelas menentang pelan rejim Israel untuk mengilhakkan sebahagian wilayah Palestin.

“Seri Paduka Baginda menyokong pendirian berprinsip dan tidak berbelah Kerajaan Malaysia dalam mengecam dan menolak pelan rejim Israel untuk mengilhakkan (annex) sebahagian tanah Palestin yang ditakluki Israel sejak 1967 di Tebing Barat, termasuk Lembah Jordan, seperti yang diumumkan oleh rejim Israel sebelum ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Seri Paduka berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut menitahkan masjid dan surau di negara ini untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT.

Katanya Seri Paduka menzahirkan harapan supaya seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

“Seri Paduka Baginda percaya perjuangan ini juga dapat dicapai untuk rakyat Palestin sekiranya mereka bebas daripada penjajahan rejim Israel dan mereka diberi sokongan serta hak menubuhkan sebuah negara yang merdeka di wilayah Palestin yang ditakluki Israel sejak 1967, termasuk Baitulmaqdis,” katanya.

Sumber : BHOnline

Larangan merokok di premis makanan tidak dihentikan – Dr Noor Azmi

Kementerian Kesihatan tetap meneruskan penguatkuasaan terhadap larangan merokok di premis makanan dan menambah baik kempen itu bagi menjamin kesihatan serta kesejahteraan rakyat negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pandangan orang ramai yang menyatakan larangan itu tidak lagi dilaksanakan adalah tidak tepat, sebaliknya penguatkuasaan berkurangan kerana memberi tumpuan terhadap usaha menangani penularan COVID-19. 

“Kempen tersebut masih diteruskan dan ia tidak dihentikan. 

“Penguatkuasaan kurang kerana ketika ini, negara memberi fokus terhadap COVID-19 malahan kedai makan tidak dibuka (dan tidak boleh makan dalam premis) sejak tiga bulan lepas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya di sini hari ini. 

Dr Noor Azmi, yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, ditemui selepas melawat dan menyampaikan sumbangan serta bantuan kepada penduduk terjejas ribut di Kampung Sungai Semambu, Kampung Parit Mentara 3, Kampung Jalan Banjar dan Kampung Jalan Gunung Semanggol dekat sini semalam. 

Beliau mengulas rungutan orang ramai yang tidak berpuas hati kerana terdapat individu kembali merokok di premis makanan selepas kedai makan dibenarkan beroperasi dan pelanggan dibenar makan dalam premis berkenaan. 

Dr Noor Azmi berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang kawalan tembakau yang sebelum ini diletakkan di bawah Akta Makanan 1983 di Parlimen tidak lama lagi dan draf mengenainya sedang diteliti oleh Pejabat Peguam Negara. 

Kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di tempat makan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2019, yang hanya membenarkan perokok merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.

Sumber : Bernama

Amirudin Restu Anwar MB Selangor Baru

Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

Kenyataan gopoh lewat malam Dato’ Menteri Besar Selangor agar YB Dr Daroyah Alwi, Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor meletakkan jawatan sebagai ADN Sementa lantaran tindakannya keluar dari parti bakal menyebabkan empayar angan-angannya musnah sekalip mata.

Sedarkah beliau bahawa saranan tersebut bakal membuka ruang lebih mudah untuk menyediakan kerusi buat Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang akhirnya bakal diangkat sebagai Menteri Besar yang baru?

Kalau ianya benar, restu ini bakal membuka lembaran baru buat rakyat di Negeri Selangor khasnya rakyat di Dun Sementa.

Jika tidak, maka jangan diikutkan sangat amarah darah muda tu YAB, takut tergadai kerusi empuk yang mati-matian dipertahan sampai sanggup buang pasukan seperjuangan.

Fokuslah untuk menguatkan sokongan sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang semakin hari semakin berkurang sebelum nama baru diangkat menggantikan posisi tersebut.

Kosongkan DUN Sementa untuk Anwar atau Rafizi?

Pemuda Negara Kapar terkesima dengan pandangan Datuk Seri Amirudin Shari supaya Dr Daroyah Alwi meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa ekoran keputusan beliau untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ameer Asshafif yang mempersoalkan cadangan tersebut bertanya, adakah saranan Menteri Besar Selangor itu bertujuan untuk menyediakan kerusi DUN Sementa untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Rafizi Ramli.

”Ini kerana, kami yakin kepimpinan dan akar umbi PKR masih melihat YAB Amirudin Shari sebagai ‘kartel Azmin’. Datuk Seri Amirudin Shari in’ yang hanya ‘berlakon setia’ semata-mata untuk mengekalkan kerusi empuk Menteri Besar Selangor.

”Jangan lupa, melalui beberapa gambar yang viral, Dato’ Menteri Besar juga dituduh terlibat sama dalam merancang Langkah Sheraton. Malah, beberapa pegawai dan rakan-rakan Dato’ Menteri Besar juga ada bersama kami di Sheraton pada hari kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pemuda Negara Kapar, tambahnya juga berpesan supaya Amirudin supaya berhati-hati dengan cadangan tersebut kerana dikhuatiri akan memakan diri sendiri sambil mendoakan agar Menteri Besar Selangor itu diberikan kekuatan dan ketabahan untuk berdepan intrik politik dalam PKR yang pasti tiada kesudahannya.

Semalam, Dr Daroyah yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat selepas beliau hilang keyakinan dan kepercayaan kepada Presiden PKR dan juga pimpinan parti kerana alpa dengan idealisme perjuangan serta hala tuju parti.

Daroyah juga terkilan dan kecewa kerana yang berjasa menjadi korban dan berlaku siri terancang pemecatan serta penggantungan anggota terutama melibatkan rakan seperjuangan yang lama memperkasa parti.

Sumber : MalaysiaGazette