PeoplePostInsider

Remaja umur 18 tahun tidak boleh jadi calon di DUN Chini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan mana-mana individu berusia 18 tahun menjadi calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai hadapan.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, larangan itu dikuatkuasakan susulan pewartaan undang-undang membenarkan individu berusia 18 tahun untuk menjadi calon pilihan raya tertakluk di peringkat kerusi Parlimen

Sumber : Sinar Harian

Marzuki, Akramsyah dipecat daripada jawatan Bersatu

Dua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipecat daripada menjawat jawatan dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta selepas Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat pemimpin parti itu digugurkan keahlian mereka daripada Bersatu baru-baru ini.

Kedua-duanya ialah Senator Datuk Marzuki Yahya yang dipecat daripada jawatan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Pulau Pinang dan Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu (lantikan).

Akramsyah


Surat pemecatan bertarikh 2 Jun itu dikeluarkan dan ditandatangani oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, surat tidak menjelaskan sebab pemecatan keahlian dua ahli tersebut.

Minggu lalu, Dr Mahathir bersama empat yang lain iaitu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah digugurkan keahlian Bersatu.

Marzuki


Berdasarkan surat yang diedarkan kepada media, keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu dan ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mendakwa tindakan Muhammad Suhaimi memecat beliau dan empat lagi pemimpin lain daripada parti itu adalah tidak sah malah mendakwa beliau masih lagi menjawat tugas sebagai Pengerusi Bersatu.

Menurutnya, beliau hairan dengan tindakan Suhaimi yang bertindak di luar Perlembagaan parti dan mempunyai lebih banyak kuasa berbanding pengerusi parti.

Sumber : Sinar Harian

Pokok lidah jin dalam rumah boleh jejas kesihatan

Pokok lidah jin atau juga dikenali sebagai pokok lidah mentua semakin mendapat tempat di hati kaum wanita untuk dijadikan dekorasi di dalam rumah.

Menurut Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan Sebatian Semulajadi Atta-ur-Rahman (AuRIns), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor itu, tanah adalah tempat paling kondusif untuk mikroorganisma bermandiri kerana kandungan bahan organik, inorganik dan mineral yang tinggi.

“Sebab itu tanah tidak sepatutnya di simpan dalam rumah, apa lagi untuk individu yang lemah sistem imuniti kerana akan mudah terkesan dengan kehadiran mikroorganisma ini,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Dr Fatimah yang juga pensyarah kanan kimia, Pusat Asasi UiTM, Dengkil, Selangor berkata, terdapat alternatif kepada tanah jika ingin menyimpan pokok itu di dalam rumah antaranya tanah liat yang dikembangkan atau Leca, sabut kelapa, sekam padi, ‘perlite’ iaitu sejenis mineral hasil letusan gunung atau menggunakan kaedah hidroponik.

“Boleh juga gunakan air sahaja namun harus rajin menukarnya untuk elak nyamuk bertelur dan mengurangkan mikoorganisma bermandiri.

“Aktiviti mikoorganisma mudah dikesan iaitu dengan kehadiran bau kurang menyenangkan daripada bekas atau bahagian yang terendam seakan berlumut,” jelasnya.

Sementara itu, Pusat Racun Negara pada 7 Jun lalu memuat naik status di laman Facebook rasmi menasihati orang ramai terutama jika mempunyai anak kecil agar berwaspada kerana pokok tersebut mengandungi bahan aktif dikenali sebagai Saponin yang boleh menyebabkan gejala ringan seperti muntah, cirit birit dan ruam jika termakan.

Selain itu, ia juga mungkin menyebabkan gejala lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing antaranya pengeluaran air liur berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah.

“Dalam keghairahan menanam pokok tular ini di dalam rumah, pastikan anda berwaspada khususnya jika mempunyai anak-anak kecil, mereka mungkin terdedah pada bahan aktif Saponin yang berisiko menyebabkan keracunan,” menurut status itu.

Tinjauan Bernama di sebuah tapak semaian di Jalan Kuala Kangsar di sini mendapati, permintaan terhadap pokok lidah jin meningkat selepas ia tular antaranya dikatakan boleh membersihkan udara sehingga menyebabkan pengusaha kerap menambah bekalan yang diperoleh dari Cameron Highlands.

Pemilik NCS Craft Garden Landskap, Meizi Chong, 32, berkata, beliau menjual pokok itu sejak mula beroperasi tiga tahun lepas, namun permintaan sekarang disifatkannya sebagai luar biasa disebabkan tanaman itu kini tular di media sosial.

“Selepas tular, kadang-kadang sehari sampai 10 orang datang cari dan beli, kalau sebelum ini agak kurang,” katanya yang menjual pada harga antara RM8 hingga RM40 mengikut saiz dan lengkap dengan pasu.

Menurut Meizi, penjagaan pokok itu amat mudah, ia hanya perlu disiram sekurang-kurangnya dua kali seminggu, membuang daun yang kering dan tanaman itu boleh hidup untuk tempoh yang panjang jika diletakkan di tempat sesuai.

Sumber : Sinar Harian

Mayat kanak-kanak lemas ditemui

Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang dihanyutkan arus selepas dipercayai tergelincir di Sungai Bakau di sini kelmarin ditemui lemas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mayat kanak- kanak berusia 11 tahun itu ditemui pada jam 8.57 pagi di Sungai Guntong berhampiran Tasik Puteri Kundang, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

“Saya telah mendapat pengesahan daripada pegawai di lokasi mayat mangsa ditemui di sungai tersebut.

“Mayat akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Daerah Gombak, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat kanak-kanak itu.

“Seorang saksi memaklumkan ketika dia dalam perjalanan ke ladangnya telah menemui mayat kanak-kanak itu di dalam sungai kira-kira 8 pagi.

“Mayat tersebut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Samsol memaklumkan seramai 40 anggota dan pegawai Bomba dan Penyelamat Malaysia termasuk Unit Anjing Pengesan dan Pasukan Penyelamat di Air serta polis terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pada hari ketiga.

Dalam kejadian pada jam 4 petang kelmarin, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai insiden itu.

Kanak-kanak itu dipercayai bermain di tepi longkang sebelum tergelincir dan dihanyutkan arus deras Sungai Bakau berhampiran Apartmen Rajawali.

Sumber : Sinar Harian