PeoplePostInsider

#video Kemudahan CCTV Untuk PPR

Berita Semasa |Pelaksanaan Operasi Sanitasi Awam Oleh Bomba Malaysia

Secara keseluruhan, KPKT di bawah Taskforce Sanitasi Awam COVID-19 telah selesai menjalankan sebanyak 9,709 operasi sanitasi yang merangkumi 134 zon iaitu 25 zon kuning dan 109 zon hijau mengikut pengkelasan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kesemua zon merah telah dilaksanakan operasi sanitasi dan operasi taskforce ini akan diteruskan di kawasan-kawasan yang diputuskan bersama oleh KKM melalui PKD.

Operasi juga akan memberi keutamaan kepada lokaliti kes berdasarkan bilangan kes COVID-19 yang terkini.

Setakat 23 Ogos 2020 (Ahad) sebanyak 6 operasi sanitasi meliputi 6 zon hijau telah dilaksanakan yang melibatkan 4 buah negeri iaitu Sabah (2 operasi), Kedah (2 operasi), Pahang (1 operasi) dan Perak (1 operasi).

Sehingga kini (30 Mac 2020 – 23 Ogos 2020), operasi telah merangkumi 12,874 premis yang terdiri daripada 2,700 pusat perniagaan, 1,595 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,560 tempat awam, 354 pasar raya dan 5,665 bangunan kerajaan.

Berita Ringkas |Mohd Sharim Angkat Sumpah Sebagai Adun Chini

Mohd Sharim, 41, hari ini rasmi menjadi ADUN Chini.

Beliau yang merupakan generasi kedua Felda Chini, Pekan dekat sini, mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad.

Rencana |Penyertaan Blok Azmin Kukuhkan Bersatu & Perikatan Nasional

Sebenarnya Azmin Ali mempunyai beberapa pilihan untuk gerakan politik selepas disingkirkan dari PKR. Antara pilihan yang diperkatakan umum adalah menubuhkan sebuah parti baharu atau menjadi ahli Perikatan Nasional (direct member) atau menyertai mana-mana parti komponen Perikatan Nasional.

Azmin tidak memilih untuk menubuhkan sebuah parti baharu atas beberapa faktor iaitu keperluan dana kewangan yang besar bagi menguruskan organisasi baru, realiti jangka masa signifikan bagi memperkenal dan mempromosi entiti politik baru. Pilihan yang ini tidaklah menyukarkan Azmin untuk menzahirkannya, namun ia bukan pilihan strategik waktu singkat ini.

Perikatan Nasional pula setakat ini masih menjalankan peranan dan amanah mentadbir negara sejak enam bulan lepas dengan lancar walaupun Pakatan Harapan masih memainkan ‘psywar’ kerajaan majoriti tipis dan ‘kerajaan pintu belakang’.

Azmin juga tidak memilih langkah kedua iaitu menjadi ‘direct member’ Perikatan Nasional walaupun Perikatan Nasional disebut telah lulus pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Namun langkah ini masih praktikal sekiranya ada wakil-wakil rakyat bebas tidak mahu menyertai mana-mana parti komponen Perikatan Nasional tetapi boleh menjadi ahli terus gabungan ini.

Kongres Negara 2020 yang dilangsungkan pada 22 Ogos 2020 lepas adalah suatu usaha proaktif Azmin-Zuraida memperlihatkan pakej lemgkap bagi membuktikan blok mereka mempunyai cukup kekuatan dari segi jumlah keahlian, penampilan barisan kepimpinan yang dinamik daripada pelbagai kaum dan sejumlah wakil rakyat yang setia berkhidmat bagi penyertaan secara ‘en-block’ ke dalam Bersatu.

Penggerak Komuniti Negara, NGO yang dinaungi oleh Zuraida Kamaruddin mempunyai keahlian seluruh negara yang berdaftar seramai 200 ribu orang, manakala sayap Pemuda Negara pula memiliki 10,500 ahli berdaftar seluruh negara.

Ini suatu angka yang sangat signifikan dalam gerakan politik. Sememangnya kekuatan angka menjadi modal ampuh dunia politik. Azmin-Zuraida tidak bercakap kosong tentang angka. Kedua-duanya membuktikan hakikat politik, bahawa mereka mempunyai sokongan akar umbi yang besar seluruh negara.

Situasi semasa yang melanda Bersatu dengan ahli-ahli pro-Tun Mahathir keluar parti, Azmin membawa blok sokongan beliau menyertai Bersatu. Langkah penyertaan secara ‘en-block’ ini bukan sahaja menguatkan kedudukan malah ia ke arah menjadikan Bersatu sebagai parti politik dinamik mendepani masa.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam ucapan di Kongres Negara telah mengesahkan bahawa parti tersebut akan membuka keahlian kepada kaum lain. Bersatu masih menjadi parti dominasi Melayu tetapi ia akan menjadi sebuah pertubuhan siasah pelbagai kaum yang signifikan berbanding DAP, PKR atau Gerakan.

Ahli Parlimen Segamat, Dr Edmund Santara ada menyatakan dalam ucapan beliau Sabtu lepas, apabila kedudukan Orang Melayu sebagai majoriti diperkuatkan maka kedudukan sosioekonomi dan politik Melayu akan stabil. Secara langsung kestabilan itu akan memberi kebaikan kepada kaum-kaum lain. Dr Edmund sendiri menjadi perintis awal sebagai wakil rakyat bukan Melayu Bumiputera pertama menjadi ahli Bersatu.

Kecaman dan kejian daripada PKR khususnya pasti ada. PKR sebenarnya masih gagal bergerak kedepan walaupun watak Azmin dan Zuraida telah disingkirkan. PKR masih mengejar bayangan Azmin-Zuraida.

Jika PKR berbangga memiliki sejuta keanggotaan seluruh Malaysia, apalah sangat dengan 200 ribu keahlian Penggerak Komuniti Negara yang hanya 20 peratus daripada jumlah sejuta anggota PKR. Mengapa sikap itu berlaku? Ini kerana PKR tau kegigihan Azmin dan Zuraida dalam gerakan politik lebih progresif berbanding pemuka-pemuka PKR yang ada kini.

Penyertaan Blok Azmin akan turut memperkuatkan kedudukan Muhyiddin Yassin selaku presiden parti. Kebetulan juga Bersatu telah pun mengumumkan barisan kepimpinan utama yang menang pemilihan parti.

Kekuatan jumlah keahlian Penggerak Komuniti Negara bakal menjadi jentera pilihan untuk Bersatu menghadapi Pilihanraya Negeri Sabah dan PRU15 nanti.

Kehadiran wakil-wakil politik daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), MIC dan PAS secara tak langsung telah ‘memuktamadkan’ tanda tanya keanggotaan parti komponen Perikatan Nasional yang bakal mengumumkan logo dan pengesahan pendaftaran sedikit masa lagi.