PeoplePostInsider

PKR Pincang, Sayap Wanita Tanpa Nakhoda

Peranan wanita dalam politik tidak boleh dipandang remeh kerana mereka adalah jentera utama yang membawa kepada kejayaan mana-mana organisasi politik.

Setelah mantan Ketua Wanita yang kali ini diangkat sebagai Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dipecat dari PKR, rata-rata melihat nasib golongan hawa kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan keanggotaan parti diletakkan di atas bahu ketua dan timbalannya yang baru iaitu Haniza Talha bersama Dr Daroyah Alwi.

Perjuangan mengangkat martabat wanita negara diteruskan setelah kedua mereka dipilih mengemudi sayap berkenaan pada pemilihan lepas. Duo ini konsisten memperjuang dan mempertahan hak wanita di negara ini bukan sahaja dalam gelanggang dewan negera & negeri, malah ke peringkat antarabangsa.

April lalu, keputusan dangkal PKR menggantung Ketua Wanita mereka terus menjadi pertikaian di kalangan anggota akar umbi. Penggantungan tersebut hanya kerana Haniza didapati menghadiri pertemuan bersama bekas pemimpin parti, Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Terbaru, wanita akar umbi terus bingung apabila notis tunjuk sebab pula dikeluarkan kepada Timbalan Ketua Wanita mereka, Dr Daroyah hanya kerana ketegasan dan usahanya mempertahankan barisan kepimpinan wanita yang dikenakan tindakan sama ada pecat atau gantung di semua peringkat, pusat mahupun cabang.

Kini, sayap wanita PKR bagai kapal berlayar tanpa nakhoda apabila dua pemimpin utamanya yang dipilih majoriti anggota dikenakan tindakan. Tiada lagi hala tuju dan menanti karam.

PKR hari ini dilihat tidak lagi menghargai jasa dan pengorbanan golongan wanita yang selama ini terkehadapan dalam memperjuangkan idealisme keadilan.

Sumber : New Malaysia Times

Penyanyi Lagu Alalala Tok (Jangan Saman), Poe Meninggal Dunia

Penyanyi terkenal 90-an , Poe disahkan meninggal dunia tengah hari tadi. Allahyarham Mohd Fauzi Ahmad, 64 disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung, buah pinggang dan hati ketika dirawat di Hospital Selayang.

Arwah yang turut dikenali sebagai seorang kartunis pernah popular dengan lagu Alalala Tok (Saman) pada tahun 90-an.

Pemergiannya diiringi ucapan takziah dari rakan taulan serta Menteri Besar Negeri Sembilan.

Takziah diucapkan kepada ahli keluarga Mohd Fauzi Ahmad atau lebih mesra dikenali sebagai Poe yang meninggal dunia di Hospital Selayang pada tengah hari tadi.

Almarhum, 64, yang merupakan penyanyi lagu rasmi Team Nismilan ‘Hobin Jang Hobin’ meninggal dunia akibat komplikasi penyakit jantung, buah pinggang dan hati yang dihidapi sejak beberapa tahun lalu.

Almarhum yang juga merupakan seorang kartunis, pernah popular dengan lagu Alalala Tok (Saman) pada awal 1990 an.

Semoga ahli keluarga Poe tabah dalam menempuhi dugaan ini, dan semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Sumber : Siakap Keli

Maszlee: Jawatan PM ke-9 bukan hak mutlak Anwar

“Kalau PH hanya berharap kepada kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka sampai bila-bila pun PH tidak akan mampu melepasi angka keramat 112,” kata Maszlee Malik.

Rundingan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) haruslah tidak dengan keyakinan bahawa jawatan perdana menteri adalah hak mutlak Anwar Ibrahim.

Anggota Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik berkata, tanpa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, peluang untuk PH mengambil semula kerajaan adalah sangat tipis bahkan mustahil.

“Rundingan untuk ambil semula kerajaan daripada PN dan memilih Perdana Menteri ke-9 haruslah tidak dengan keyakinan bahawa PM ke-9 adalah hak mutlak Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar nombor.

“Hakikatnya jelas, tanpa Tun Dr Mahathir, peluang untuk mengambil semula kerajaan pun sangatlah tipis bahkan mustahil.

“Kalau PH hanya berharap kepada kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka sampai bila-bila pun PH tidak akan mampu melepasi angka keramat 112,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Maszlee mengimbas analogi yang pernah diberikan bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila ditanya mengapa perlu PAS bekerjasama dengan parti-parti lain seperti Semangat 46, PKR dan DAP.

“Beginilah. Umpama kita nak kait rambutan. Pokok rambutan tinggi. Galah kita tak sampai. Kalau kita cari sejengkal lagi galah, sambung dengan galah kita, Insha-Allah satu pokok rambutan kita boleh kait.

“Galah sejengkal inilah yang membantu kita dapat banyak lagi hasil,” ujarnya memetik kata-kata allahyarham.

Sumber : Malaysiakini

Covid-19: KKM sah terima kes tukang gunting rambut positif Covid-19

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima notifikasi berkenaan dengan seorang gunting rambut disahkan positif koronavirus (Covid-19) oleh Pejabat Kesihatan Titiwangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki warga asing itu menawarkan perkhidmatan gunting rambut dari rumah ke rumah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kedai gunting rambut ditutup sejak PKP, tetapi dia menawarkan gunting rambut dari rumah ke rumah mengikut permintaan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu dikesan positif Covid-19 selepas majikannya memintanya untuk melakukan ujian saringan sebelum memulakan operasi di kedai.

“KKM telah mengesan 40 kontak rapat lelaki itu termasuk pelanggannya.

Kesemua mereka diarah dikuarantin di rumah manakala pesakit berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.”

Sumber : Sinar Harian