PeoplePostInsider

Adun PKR Sungai Acheh sertai PN

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim yang ternyata kecewa dengan PKR bakal menyertai parti gabungan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, beliau langsung tidak diberi peluang untuk membela diri atau membuat rayuan dan terkejut menerima surat pemecatan bertarikh 1 Julai kerana tiada alasan dinyatakan berhubung tindakan tersebut terhadapnya.

Menurutnya, setakat ini beliau masih belum menyertai mana-mana parti politik, namun akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

“Dalam masa terdekat ini saya akan memilih PN kerana ada Umno, PAS, PPBM dan saya akan menyerah borang permohonan rasmi menyertai parti dalam PN di Kuala Lumpur nanti,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Adun Sungai Acheh di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, beliau akan menyertai pihak pembangkang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang akan datang.

“Saya bukan Adun Bebas, tetapi Adun PN, cuma parti sahaja belum ditentukan lagi dan saya akan buat pengumuman seterusnya dalam masa yang singkat,” katanya.

Mengenai pemecatan itu, beliau berkata, Jawatankuasa Disiplin PKR sepatutnya memanggil beliau untuk siasatan sebelum pemecatan, tetapi proses itu tidak berlaku dan terus dipecat.

“Saya amat terkejut kerana saya sendiri pun tidak tahu dipecat atas sebab apa,” katanya

Tambahnya, beliau juga tidak akan membuat rayuan dalam tempoh yang diberikan kerana hilang kepercayaan terhadap pemimpin parti.

Antara yang turut hadir memberi sokongan, termasuklah Adun Penaga, Mohd Yusni Mat Piah, ketua pembangkang DUN Pulau Pinang, Muhamad Yusoff Mohd Noor dan Adun Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim.

Sumber : FMT

Belanjawan 2021 dibentang di parlimen 6 Nov – Menteri kewangan

Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan di parlimen pada 6 November ini adalah bertujuan merancakkan semula ekonomi selain memulihkan keyakinan pelabur dan pengguna untuk memacu ekonomi, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Fokus utama adalah untuk memacu sumber pertumbuhan baru dan masa depan Malaysia, berikutan 2021 akan menjadi tahun untuk kita mempertahankan pertumbuhan yang kita harapkan dapat dicapai pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

“Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), agensi-agensi penarafan dan penganalisis mengunjurkan Malaysia untuk mencatat pertumbuhan kukuh pada 2021. 

“Jadi, belanjawan negara perlu dirangka untuk memenuhi dan melancarkan pertumbuhan ini, ” katanya dalam program ‘Money Matters’ terbitan TV3 hari ini.

Mengenai projek-projek Mega seperti Transit Aliran Ringan Laluan 3, Transit Aliran Massa 2, Laluan Rel Pantai Timur dan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), beliau berkata kerajaan bercadang meneruskan projek-projek itu berikutan potensi sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Tengku Zafrul berkata negara perlu berbelanja dan melabur untuk merangsang ekonomi dan projek-projek mega ini akan menambah satu peratus kepada KDNK negara, seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang menokok sekurang-kurangnya tiga peratus kepada KDNK.

Beliau berkata defisit belanjawan akan meningkat kepada antara 5.8 peratus dan 6.0 peratus tahun ini berikutan langkah rangsangan yang diperkenalkan untuk memerangi cabaran akibat pandemik Covid-19.

“Sesuatu yang baik mengenai Prihatin dan Penjana ini adalah langkah-langkahnya yang sementara dan hanya sekali beri. Suntikan fiskal kira-kira RM45 bilion tidak akan muncul kembali pada belanjawan tahun depan.

“Jadi, secara matematik, pinjaman kita akan berkurangan dan KDNK akan meningkat tahun depan. Apabila syarikat semakin baik, perolehan cukai kerajaan akan menjadi lebih baik dan diharap membantu kita untuk kembali kepada defisit belanjawan di bawah empat peratus.

Mengenai masa depan, Tengku Zafrul berkata beliau optimis bahawa Malaysia berada di landasan untuk mencapai pemulihan berbentuk V dengan pembukaan ekonomi secara berperingkat susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Bank Dunia, IMF dan agensi-agensi penarafan turut memberikan isyarat Malaysia untuk melalui pemulihan berbentuk V. Bank Negara Malaysia menjangkakan pertumbuhan KDNK negara untuk tumbuh antara -2.0 hingga 0.5 peratus tahun ini.

“Tahun depan, konsensus adalah pada lima peratus pertumbuhan KDNK bagi Malaysia. Bagi saya, ia adalah isyarat positif bahawa ekonomi kita akan bertambah baik,” katanya.

Sumber : Malaysiakini

Lin Dan akhirnya gantung raket

Selepas 20 tahun mewarnai arena badminton dunia, juara Olimpik sebanyak dua kali dari China, Lin Dan mengumumkan persaraannya hari ini.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Weibo, bintang sensasi itu, berkata: “Dari 2000 hingga 2020, selepas 20 tahun, saya perlu mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan.

“Ia sesuatu yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata,” katanya.

Pengumuman itu menyaksikan Lin Dan, 37, yang memenangi emas Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 tidak akan beraksi pada Olimpik Tokyo tahun depan.

Difahamkan, Lin Dan menghantar surat rasmi permohonan untuk bersara kepada Persatuan Badminton China beberapa hari lalu dan badan induk itu menerimanya.

Selain emas Olimpik, Lin Dan juga memenangi gelaran juara dunia sebanyak lima kali bermula 2006, 2007, 2009, 2011 dan 2013.

Keputusan itu hadir setahun selepas musuh tradisinya yang juga bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya, Jun tahun lalu

Sumber : BHOnline

Jangan pandang rendah pengaruh Azmin di Selangor, kata pemerhati

Meskipun sudah tidak lagi bersama PKR, pengaruh bekas timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali terhadap akar umbi parti tidak harus dipandang rendah.

Kata pemerhati politik B Anbumani, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mempunyai pengalaman luas dalam sepak terajang politik, lebih-lebih lagi dengan pengalamannya sebagai menteri besar Selangor memberikan ruang untuk mengumpul sokongan kuat di peringkat akar umbi.

“Peranan Azmin ni cukup halus. Kita tak boleh nafikan dia begitu saja. Kerana dia ini satu karakter politik yang kita perlu pandang pada masa akan datang. Dia ini memang pemain utama.

“[…] Jadi, Azmin, jangan pandang rendah (underestimate) dia punya pengalaman politik. Dia lain sikit. Dia tak ke depan, dia sentiasa ke belakang, di sebalik tabir,” kata Anbumani ketika dihubungi baru-baru ini.

Memberikan senario pemecatan pemimpin dan ahli PKR yang dilihat menyokong Azmin, Anbumani tidak menolak Azmin sedang menyusun gerakan sendiri bagi mengumpul penyokong-penyokongnya, malah menjangkakan satu kejutan politik di Selangor.

Lebih-lebih lagi, katanya, PKR kelihatan seolah-olah diketepikan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam soal calon perdana menteri yang membabitkan presiden parti Anwar Ibrahim, sedangkan akar umbi sedang memerhatikan situasi yang berlaku di peringkat pusat.

“Dia (Azmin) punya alternatif memang sudah ada, cuma dia belum umumkan lagi. Dia tengah tunggu masa yang sesuai untuk umumkan.

“Saya jangka dia akan buat satu parti baru berbilang bangsa, jadi satu gabungan yang lebih kuat, yang lebih mesra semua rakyat Malaysia. Macam PKR 2.0,” katanya lagi.

Azmin menjadi menteri besar Selangor dari 2014 hingga 2018 – selepas kejayaan PH menumbangkan BN pada PUR-14 – namun melepaskan jawatan selepas dilantik menjadi menteri dalam pentadbiran Mahathir.

Konflik dalaman PKR memuncak dalam pemilihan parti itu pada 2018, yang menyaksikan Azmin bersaing dengan Rafizi Ramli yang dilihat dekat dengan Anwar bagi jawatan timbalan presiden. Pemilihan itu dimenangi Azmin.

Azmin kemudian dikaitkan sebagai antara dalang Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH apabila dia dan sekumpulan penyokongnya bersama Bersatu keluar daripada gabungan itu.

Mereka kemudian bekerjasama dengan BN, PAS untuk menubuhkan PN.

Di bawah pentadbiran PN yang diterajui presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Azmin dilantik menjadi menteri kanan.

Kelebihan Azmin

Bagi penganalisis politik Dr Jeniri Amir, dari satu segi, pemecatan penyokong-penyokong Azmin dalam PKR dilihat usaha untuk menghapuskan pengaruhnya di dalam parti, namun dari satu segi lagi, ia bukan saja menjejaskan imej PKR, tetapi juga membangkitkan kemarahan akar umbi.

“Kita tak boleh memperkecil keupayaan Azmin untuk menggerakkan jentera akar umbi dan memberi gugatan terhadap PKR yang memihak kepada Anwar.

“Orang masih lagi ingat akan jasa dan sumbangan beliau ketika menjadi menteri besar Selangor dulu. Itu kita tak harus tolak ketepi saja. Sebab beliau sudah punya track record, dan sekarang menjadi menteri kanan dalam kabinet PN.

“Jadi kelebihan-kelebihan itu dari segi rekod, jentera akar umbi dan sebagai pemimpin di peringkat persekutuan, memberi kelebihan kepada beliau berbanding yang lain,” katanya.

Pemerhati politik Hishamuddin Rais turut berasakan bahawa pengaruh Azmin masih berbekas buat rakyat Selangor dan akar umbi PKR negeri itu ekoran perkhidmatannya sebagai menteri besar di situ.

Malah, tindakan yang dikenakan ke atas ahli PKR yang dilihat menyokongnya juga menunjukkan bahawa Azmin masih masih mempunyai pengaruh kuat dalam PKR.

“Ada beberapa ratus orang yang digantung, diberi surat amaran oleh pemimpin PKR, dan beberapa cabang di Sabah dan Sarawak telah dibubarkan.

“Orang-orang ini hendak ke mana perginya? Mereka menjadi orang tak berumahlah, tidak berparti. Jadi, ini saya rasa, pasti pemimpin-pemimpin (yang menyokong Azmin) sedang membincangkan ke mana (hala tuju),” katanya ketika dihubungi semalam.

PKR sebelum ini mengesahkan memecat lima pemimpin yang dikaitkan dengan Azmin, iaitu Ketua Wanita PKR Haniza Talha, Ketua Wanita Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria, Ketua Wanita Sabah Rahimah Majid dan dua Adun Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) serta Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

Beberapa daripada mereka menerajui NGO, seperti Pemuda Negara yang diketuai Afif, dan Nation of Women yang diketuai Haniza, manakala satu lagi NGO, Penggerak Komuniti Negara dinaungi bekas naib presiden PKR merangkap Menteri Kerajaan dan Perumahan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Sumber : Malaysiakini