PeoplePostInsider

Kini hakim wanita separuh dari 14 hakim Mahkamah Persekutuan

Badan kehakiman negara mencatatkan sejarah tersendiri apabila lebih separuh daripada 14 hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada golongan wanita.

Ini susulan pelantikan dua hakim wanita terbaru iaitu Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Mary Lim, 61, Rhodzariah, 58 dan Harmindar Singh, 61, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Kehakiman, di Putrajaya, hari ini.

Mahkamah Persekutuan kini dibarisi 14 hakim dengan lapan daripada mereka adalah wanita.

Selain Tengku Maimun dan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf, hakim wanita lain di Mahkamah Persekutuan adalah Datuk Nallini Pathmanathan, Puan Sri Zaleha Yusuf, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Hakim lelaki pula terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Sementara itu, lapan hakim Mahkamah Tinggi dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan.

Mereka ialah Datuk Mohd Soffian Abdul Razak, 64, Datuk Supang Lian, 59, Datuk Lee Heng Cheong, 63, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin, 63, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, 59, M. Gunalan, 62, Datuk Nordin Hassan, 56, dan Daryl Goon Siew Chye, 64.

Mereka mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan.

Pada majlis mengangkat sumpah jawatan, Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching adalah 11 orang menerima surat pelantikan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman daripada Ketua Hakim Negara.

Selain Loke, yang lain ialah Datuk Zaleha Rose Pandi, 59, Datuk Azhar Hamid, 56, Dr Arik Sanusi Yeop Johari, 50, Datuk Amirudin Abd Rahman, 58, Mahazan Mat Taib, 52, Bhupindar Singh a/l Gurcharan Singh Preet, 56, Ahmad Murad Abdul Aziz, 61, Liza Chan Sow Keng, 62, Wan Muhamad Amin Wan Yahya, 48, dan Alexander Siew How Wai, 54.

Zaleha dan Siew mengangkat sumpah jawatan dan tata setia di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak manakala yang lain di hadapan Hakim Besar Malaya.

Sumber : Bernama

Kematian Adib: Saksi ubah keterangan ketika siasatan semula

KUALA LUMPUR: Polis mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji semula keterangan saksi berhubung kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata cadangan pasukan kajian semula itu dibuat susulan keterangan saksi yang diambil selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian arwah adalah akibat perbuatan jenayah.

Beliau berkata, susulan arahan Koroner, polis merakam semula keterangan 30 saksi yang sebelum ini tampil ketika ikues kematian Muhammad Adib termasuk dua anggota bomba yang berada dekat dengan arwah ketika kejadian, serta 52 saksi baharu.

“Dua anggota bomba yang berada dekat dengan arwah secara konsisten mengatakan mereka tidak nampak siapa yang memukul dan mencederakan Muhammad Adib.

“Terdapat juga percanggahan keterangan daripada dua pakar patologi iaitu seorang yang dilantik keluarga dan seorang daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menjalankan bedah siasat,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Difahamkan, ketika diambil keterangan semula oleh polis selepas perintah dikeluarkan oleh Koroner, seorang saksi yang sebelum ini mendakwa nampak mangsa dipukul, mengubah keterangan mengatakan perkara itu tidak berlaku.

Susulan perkembangan itu, keterangan terbabit akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut terhadap saksi berkenaan.

Susulan rakaman percakapan semula itu, Abdul Hamid berkata, PDRM kini mencadangkan kepada KDN mewujudkan pasukan khas mengkaji semula kes berkenaan berdasarkan keterangan yang dikumpul daripada semua saksi.

“Sehingga kini, tiada seorang saksi pun yang berada di tempat kejadian yang kita rakamkan keterangan semula, yang nampak Muhammad Adib ditarik keluar dari EMRS dan dipukul pada hari kejadian.

“Mustahil tiada saksi yang melihat jika Muhammad Adib dipukul. Siasatan masih diteruskan tetapi sehingga kini kita masih tidak jumpa walaupun seorang yang dapat mengatakan mangsa dipukul,” jelas beliau.

Beliau berkata, pihaknya bukan mahu menutup segera siasatan, sebaliknya mahu mencari kebenaran dalam kes itu, tetapi PDRM berdepan kekangan.

“Bantulah PDRM sekiranya ada maklumat. Saya juga tidak tahu, bagaimana dapatan dia tarik dan dipukul, saya tak tahu siapa mereka ini.

“Saya tidak ingin melengahkan, jika ada seorang saksi yang dapat meyakinkan kami bahawa dia nampak arwah Muhammad Adib ini ditarik, kami jalankan siasatan.

“Pihak polis tidak bermain politik, saya inginkan kebenaran dan polis akan meneruskan siasatan serta saya ingin memuaskan hati semua pihak,” katanya.

Sumber : BHonline

Kem Mahathir umum jadi blok bebas bersama Warisan

Mereka juga memaklumkan bahawa tidak akan bergabung dengan PH mahupun bersama PN yang diterajui Muhyiddin.

Enam anggota parlimen Bersatu yang setia kepada Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan bahawa mereka akan kekal bersama Warisan sebagai blok bebas.

Mereka juga memaklumkan bahawa tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mahupun bersama Perikatan Nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Kami membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen. Kamitidak bergabung dengan mana-mana gabungan.

“Kami juga menentang sebarangusaha untuk menggantikan Speaker dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin yang menubuh Kerajaan yang tidak dipilih rakyat.

“Kami masih utama perjuangan asal kami iaitu menolak kembalinya kerajaan kleptokrasi,” katan mereka dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Sumber : MalaysiaKini

Bunuh Kevin Morais: Enam dihukum gantung sampai mati

PAKAR patologi Kolonel Dr R Kunaseegaran dan lima lagi dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan semua tertuduh bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin pada 2015.

Selain Kunaseegaran, 57, selaku tertuduh pertama; lima lagi ialah pemberi pinjaman wang, S Ravichandran, 49, dan empat penganggur, R Dinishwaran, 28; AK Thinesh Kumar, 27, M Vishwanath, 30, dan S Nimalan, 27.

Semua tertuduh didakwa membunuh Kevin ketika bekas Timbalan Pendakwa Raya itu dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, di sini ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, pada 4 September 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mayat Kevin Morais ditemui dalam dram berisi konkrit, lima tahun lalu.

Kunaseegaran sebelum ini didakwa bersama dengan lima lelaki melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama, namun pada 15 Mei 2017, pertuduhan itu dipinda kepada mempunyai niat yang sama dengan lima lelaki berkenaan dalam pembunuhan Morais.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin dan Wan Shaharuddin Wan Ladin sementara peguam Datuk N Sivananthan mewakili Kunaseegaran dan peguam Datuk Sheelan Arjunan mewakili lima tertuduh lain.

Sumber : Harian Metro