PeoplePostInsider

14 PATI cuba masuk Malaysia ditahan

MELAKA – Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan selepas didapati cuba menyeludup masuk ke perairan negara melalui jalan tikus.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, mereka semua ditahan oleh National Task Force (NTF) daripada gabungan penguat kuasa APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Pasukan Gerakan Am, Pegawai Perisikan Tentera dan Tim Op Merpati 1 Bridged dalam rondaan Op Benteng pada jam 11.30 pagi, semalam.

”Kita berjaya mengesan sebuah bot fiber kelabu tanpa nombor pendaftaran sedang berapung dan bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira 1.0 batu nautika dari pantai Bagan Lalang, Selangor,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebaik sahaja menyedari kehadiran bot ronda APMM, kesemua PATI bertindak terjun ke dalam laut dan berlari ke tepi pantai, manakala bot berkenaan memecut laju menuju ke tengah laut.

“Bagaimanapun kesemua 14 PATI itu yang merupakan warga Indonesia terdiri daripada sembilan lelaki dan lima wanita berusia dari 24 hingga 49 tahun berjaya ditahan oleh anggota-anggota PGA yang telah berada di pesisir pantai.

“Mereka dibawa ke pejabat APMM Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c). Kesemua PATI ini turut disaring koronavirus (Covid -19) oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM.

“Berdasarkan siasatan awal, sindiket penyeludupan masuk keluar PATI ini didalangi sindiket warga tempatan dan warga asing yang sudah lama menetap di negara ini,” kata beliau lagi.

Sumber : Sinar Harian

Buluh tidak akan ganti sawit sebagai komoditi utama negara

Datuk Dr. Mohamad Khairuddin Aman berkata, kementerian sedang memperkasakan lagi industri sawit dengan kajian teknologi terkini.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi tidak berhasrat untuk menggantikan komoditi utama negara iaitu kelapa sawit dengan tanaman buluh.

Menterinya, Datuk Dr. Mohamad Khairuddin Aman berkata malah, kementerian sedang memperkasakan lagi industri sawit dengan kajian teknologi terkini, memperluaskan pasaran di luar negara, mempelbagaikan produk nilai tambah makanan dan meneruskan pelbagai kajian mengenai kebaikan dan manfaat sawit kepada dunia.

“Pada masa sama, kementerian sedang meneroka peluang buluh sebagai satu lagi komoditi masa depan di samping pelbagai lagi produk komoditi lain,” katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Hatta Ramli (PH-Lumut) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya bagi membangunkan industri buluh, kementerian telah menyenaraikan tanaman tersebut sebagai antara tanaman hutan yang perlu dikomersialkan menerusi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bersama-sama dengan lapan lagi spesies tanaman hutan iaitu getah TLC, Akasia, Kelampayan/Laran, Batai, Jati, Binuang, khaya dan Sentang.

“Baki terkini peruntukan PPLH berjumlah RM85 juta. Kementerian saya sedang dalam proses mengubah skim pinjaman ini kepada pembiayaan patuh Syariah,” katanya.

Bagi membangunkan lagi industri buluh, katanya kementerian melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia kini dalam proses menghasilkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030.

“Dari segi prospek buluh, secara umumnya, saiz pasaran buluh global adalah besar iaitu berjumlah US$68.80 bilion pada 2018.

“Buluh boleh digunakan untuk menghasilkan papan lapis, perabot, makanan, fabrik, kraftangan, kutleri, pembinaan, eko-pelancongan dan bahan bakar seperti pembuatan arang dan pellet.

“Justeru, peluang pasaran ini perlu diteroka kerana Malaysia mempunyai kelebihan dari pelbagai segi untuk membangunkan industri buluh,” katanya.

Sumber : Astro Awani

Kerajaan negeri diminta pantau, buat persiapan hadapi cuaca tidak menentu – Sultan Johor

Sultan Johor juga mengakui turut memantau rapi serta mengikuti perkembangan keadaan banjir di beberapa daerah di Johor.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mahu kerajaan negeri serta jabatan dan agensi kerajaan termasuk pasukan keselamatan supaya memantau rapi serta membuat persiapan sepenuhnya dalam menghadapi cuaca tidak menentu di negeri ini.

Baginda juga mengakui turut memantau rapi serta mengikuti perkembangan keadaan banjir yang melanda beberapa daerah di Johor sejak semalam.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Ibrahim bertitah supaya persediaan sepenuhnya dibuat berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Pasukan keselamatan perlu terus meningkatkan pemantauan dan membuat penambahan dari segi persediaan anggota di seluruh negeri.

“Ini kerana keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, begitu juga dengan penduduk yang menetap berhampiran kawasan rendah perlu berhati-hati dan sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) menerusi kenyataan itu.

Baginda juga bertitah kerajaan negeri juga perlu memastikan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mendapat keselesaan serta kemudahan secukupnya.

“Pada masa sama, pihak berkuasa khususnya Jabatan Kesihatan Johor juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga serta menjalankan pemeriksaan di setiap PPS bagi mencegah penularan COVID-19,” titah baginda.

Setakat 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat mendadak kepada 1,271 orang daripada 331 keluarga melibatkan empat daerah iaitu Batu Pahat, Muar, Pontian dan Tangkak.

Sumber : Bernama

#InfoUmum | Senarai Perdana Menteri Malaysia

Sejak Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, negara ini telah mempunyai lapan orang Perdana Menteri.

Berikut adalah senarai Perdana Menteri negara ini sejak 1957;

1. Tunku Abdul Rahman (1957-1970)

2. Tun Abdul Razak Hussein (1970-1976)

3. Tun Hussein Onn (1976-1981)

4. Tun Dr Mahathir Mohamad (1981-2003)

5. Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009)

6. Dato Seri Najib Razak (2009-2018)

7. Tun Dr Mahathir Mohamad (2018-2020)

8. Tan Sri Muhyiddin Yassin (2020-kini)