PeoplePostInsider

Tak guna tong sampah punca longgokan sampah

Johor Bahru: Tindakan penduduk di dua kampung setinggan yang tidak menggunakan kemudahan tong sampah dengan baik menjadi punca longgokan sampah di Jalan Persiaran Bumi Hijau Pandan di sini.

Pengarah SWCorp Negeri Johor, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, perkampungan berkenaan adalah Kampung Ponderosa dan Kampung Melayu Pandan.

Menurutnya, SWCorp menerusi syarikat konsesi yang dilantik iaitu SWM Environment Sdn Bhd sudah menyediakan kemudahan tong sampah berserta perkhidmatan kutipan sampah di kawasan berkenaan dan kampung.

“Ia termasuk dua unit tong bersaiz 1100 liter disediakan di Jalan Persiaran Bumi Hijau dengan kekerapan kutipan sebanyak enam kali seminggu.

“Malah kemudian tong Roro bersaiz 16 tan turut disediakan di Jalan Imam dan Jalan Masjid dengan kekerapan kutipan enam kali seminggu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Cairul Hisham berkata, bagi menangani masalah yang berlaku, pihak SWCorp mencadangkan penyediaan lokasi pembuangan sampah yang strategik dan penempatan semula penduduk setinggan.

“Kami juga mencadangkan kerjasama dengan syarikat persendirian menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mengindahkan kawasan berkenaan.

“Baru-baru ini syarikat SJ Varied Sdn Bhd menjadi contoh kerana melakukan CSR dengan membersihkan kawasan longgokan sisa, membuat semburan asap dan menambah lima unit tong bersaiz 660 liter di situ,” katanya.

Terdahulu, sekumpulan pekerja syarikat pengurusan sisa pepejal berkenaan, secara sukarela membersihkan longgokan sampah di laluan utama Kampung Melayu Pandan di sini.

Pengurus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan SJ Varied, Muhamad Rais Ismail berkata, seramai 16 sukarelawan dari syarikat berkenaan menjalankan kerja pembersihan termasuk semburan asap secara percuma di sekitar perkampungan.

“Pembersihan yang dilakukan diharap dapat memberi keselesaan kepada penduduk kampung selain meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya. – HARIAN METRO

oleh Mary Victoria Dass

Ahli Parlimen Segamat nafi dakwaan keluar Bersatu

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara menepis khabar angin beliau meninggalkan Bersatu, dengan berkata beliau sibuk berkhidmat di kawasan Parlimennya dan “tiada masa melayan politik murahan”.

Terdahulu, tersebar spekulasi menerusi satu mesej tular di WhatsApp mendakwa Ahli Parlimen Segamat itu meninggalkan parti komponen Perikatan Nasional, tetapi akan terus menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Tidak”, katanya kepada FMT ketika ditanya sama ada beliau sudah meninggalkan Bersatu.

“Ada orang mahu saya tinggalkan Bersatu. Orang yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu.”

Katanya, khabar angin sedemikian pernah disebarkan awal tahun ini mendakwa beliau akan digantikan sebagai timbalan menteri, tetapi akhirnya ia tidak berlaku.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau menghubungi Santhara selepas mendengar khabar angin itu hanya untuk memeriksa.

“Beliau kata tidak tahu dari mana cerita itu datang dan beliau tidak keluar parti.”

Santhara terpalit kontroversi Mac lalu kerana mengambil cuti 55 hari untuk ke New Zealand bersama keluarganya dan isterinya yang sakit akhir tahun lalu.

Beliau menafikan dakwaan tidak menjalankan tugasnya dengan berkata, Muhyiddin dan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa meluluskan permohonan cutinya. – FMT

oleh Minderjeet Kaur

224 ibu hamil di Perlis mula terima vaksin hari ini

KANGAR – Sebanyak 224 orang daripada kira-kira 10,000 ibu hamil di Perlis yang berdaftar dengan aplikasi MySejahtera mula menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan 2020, Kangar pada Ahad.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, berbeza dengan kumpulan penerima vaksin biasa, ibu hamil berkenaan disediakan bilik khas untuk proses vaksinasi.

“Bagi fasa pertama di Perlis, sebanyak 10,000 orang ibu hamil akan menerima suntikan dos pertama dan saya difahamkan 106,000 orang ibu hamil di seluruh negara telah mendaftar di MySejahtera,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan ke PPV Dewan 2020 pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Kesihatan Keluarga Perlis Dr. Izwana Hamzah berkata hanya ibu hamil dengan usia kandungan 13 hingga 33 minggu sahaja dibenarkan menerima vaksin, manakala usia kandungan melebihi 33 minggu dinasihatkan untuk menerima vaksin selepas bersalin.

“Untuk yang telah mengambil dos pertama vaksin akan menerima dos kedua sebelum atau selepas bersalin,” katanya.

Seorang daripada ibu hamil yang menerima dos pertama vaksin Covid-19 hari ini (Ahad), Norazeyan Abu Hassan, 33, berkata, dia membuat keputusan untuk menerima suntikan vaksin demi keselamatan bayi dan dirinya.

“Saya segera buat pendaftaran untuk mendapat vaksinasi apabila mendapat tahu kebaikan mengambil vaksin sebelum kelahiran,” katanya yang bekerja di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menurut Norazeyan, suami turut menyokong tindakannya itu demi keselamatan bayi sulung mereka.

Loo Huey Sze, 33, yang sependapat dengan Norazeyan mengenai pengambilan vaksin untuk ibu mengandung itu berkata dia yang mengikut suami menetap di Sungai Petani, Kedah, sanggup merentas negeri untuk mendapatkan vaksin lebih awal.

“Saya ambil vaksin awal kerana bimbang bayi yang bakal dilahirkan mempunyai risiko dijangkiti Covid-19. Jika ambil sekarang risikonya adalah lebih rendah dan atas faktor tersebut saya ambil vaksin ketika hamil demi keselamatan anak saya nanti,” katanya yang juga bakal menimang cahaya mata pertama. – Bernama

Dadah lebih RM6j disorok dalam kereta mewah

IPOH: Polis merampas dadah seberat 128.78 kilogram (kg) bernilai RM6.439 juta susulan penahanan dua lelaki tempatan di sekatan jalan raya di Plaza Tol Gopeng di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, kedua-dua suspek berusia 41 dan 47 tahun yang menaiki kereta mewah jenis Bentley, dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata ketika diperiksa, polis menemui dadah jenis Methamphetamine disorok di but kenderaan terbabit.

“Polis menemui dadah jenis Methamphetamine seberat 122.5 kg dalam 117 bungkusan teh Cina di ruang penyimpanan barang di but kenderaan itu yang diubah suai.

“Pemeriksaan lanjut menemui enam lagi bungkusan teh Cina yang mengandungi 6.28 kg dadah jenis Methaphetamine di ruang penyimpanan tayar tambahan di bahagian belakang kereta berkenaan.

“Polis turut menyita wang tunai bernilai RM3,390,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek mempunyai surat kebenaran merentas negeri yang tamat tempoh atas alasan mempunyai urusan perniagaan.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya suspek berusia 41 tahun positif dadah jenis Methamphetamine manakala suspek berumur 47 tahun mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Semua dadah dirampas dipercayai untuk pasaran di sekitar utara Semenanjung.

“Kedua-dua suspek yang berasal dari Johor direman tujuh hari bermula 24 hingga 30 Jun manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya – BH ONLINE

oleh Balqis Jazimah Zahari