PeoplePostInsider

Pemergian Malim Ghozali, hilangnya permata dalam dunia sastera

Oleh Norshazlina Nor Azman

KUALA LUMPUR, 18 JunĀ — Dunia penulisan sastera Melayu kehilangan seorang lagi permata dengan pemergian Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid, 71, atau nama penanya Malim Ghozali PK, yang pulang ke rahmatullah hari ini.

Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid, 71, atau nama penanya Malim Ghozali PK

Malim Ghozali PK menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang, pada 11.20 pagi dan jenazahnya disembahyangkan di Surau Ad Duha, Kota Damansara selepas asar, menurut hantaran Facebook anaknya yang dikenali sebagai Bee Ghozali.

Allahyarham adalah penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada tahun 2013 dan dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada tahun 2014.

“Hari ini keluarga Penyair (Persatuan Penyair Malaysia) sama-sama dipalit duka,” kata Setiausaha Agung Penyair Tuan Asri Husin yang juga terkenal dengan nama pena, Wacana Minda kepada Bernama.

Tuan Asri berkata Penyair tidak akan tumbuh tanpa akal fikir daripada tokoh sastera ulung negara itu yang bukan sahaja penasihat, tetapi juga pengasas persatuan tersebut.

“Pak Malim bukan orang lain bagi kami…  perjuangan arwah untuk menduniakan kepenyairan akan kami teruskan,” katanya.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran pula berkata negara kehilangan sasterawan dan juga pemikir yang sangat prolifik yang sumbangannya sangat besar dalam dunia penulisan khususnya sastera.

Beliau berkata Malim Ghozali PK bukan sahaja mendapat pengiktirafan di tanah air tetapi turut dikenali di peringkat antarabangsa termasuklah karyanya Tree of Sorrow tersenarai antara 160 novel terbaik dunia oleh International IMPAC Dublin Literary Awards.

“Banyak lagi pencapaiannya, antaranya Allahyarham juga memenangi Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) : Kumpulan Cerpen dan pernah mendeklamasikan puisi di Prague, Republik Czech, memberi syarahan di Hannibal, Amerika Syarikat dan Paris, Perancis.

“Di dalam negara, karya, novel dan juga cerpennya pernah memenangi banyak anugerah besar termasuklah beberapa kali Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tiga kali untuk kategori utama dan pelbagai anugerah seni dari negeri Perak,” katanya sambil menambah sebanyak 22 buku Allahyarham juga diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Cina.

Abang Salehuddin berkata dengan DBP sendiri, Allahyarham telah menghasilkan lapan buku termasuklah lima novel, bermula dengan Redang pada 1988 dan karya terakhir adalah cerpen bertajuk Kumpulan Cerpen: Cerita Sarah Leong yang diterbitkan pada tahun lepas.  

Malim Ghozali PK yang dilahirkan di Malim Nawar, Perak pada 4 Mac 1949 meninggalkan enam anak dan dua orang isteri.

Sumber BERNAMA

Ketua Polis Petaling Jaya ambil kesempatan ziarah jiran lama

Dalam kesibukan kerja, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal sempat meluangkan masa menziarah jirannya dulu yang pernah menjaganya sewaktu beliau masih kecil.

Nik Ezanee melawat warga emas itu dengan membawa bekalan kuih pau yang sering diberikannya sewaktu beliau kecil.

Warga emas itu juga menunjukkan bahawa dia selalu menyimpan keratan akhbar mengenai Nik Ezanee.

Jelas menunjukkan walaupun perbezaan agama, namun keakraban dan silaturahim tidak dapat diputuskan.

Sumber : Kinitv

Tiada larangan anak-kanak keluar, riadah ke taman permainan

Kanak-kanak tidak dilarang untuk beriadah di taman permainan dan meluangkan masa di pusat beli-belah bersama keluarga, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata taman permainan dan pelbagai tempat guna awam mula dibuka sejak kerajaan melaksanakan PKPP pada 10 Jun lalu.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa harus sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan kanak-kanak yang sehingga kini dikategorikan sebagai golongan berisiko mendapat jangkitan COVID-19.

Sumber : KiniTV

Noh Omar letak jawatan Pengerusi MISC

KUALA LUMPUR: MISC Bhd (MISC) mengumumkan Tan Sri Noh Omar yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah pada 1 Jun lalu, telah meletak jawatannya, berkuatkuasa semalam.null

MISC dalam satu kenyataan berkata, Noh membuat keputusan meletak jawatannya setelah berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tan Sri Noh Omar mengucapkan selamat maju jaya kepada Lembaga Pengarah MISC dan pihak pengurusan untuk membawa syarikat ke peringkat lebih tinggi. Begitu juga, Lembaga Pengarah MISC mengucapkan yang terbaik dalam apa juga yang diceburi beliau pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.

Noh, 62, adalah Ahli Parlimen Tanjung Karang, pernah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mulai 2008 hingga 2009.

Noh kemudiannya menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2009 hingga 2013.

Dari 2014 hingga 2016, beliau menjadi Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor sebelum kembali ke kabinet sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2016 sehingga 2018.

MISC, adalah syarikat perkapalan 57.56 peratus milik PETRONAS, menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan maritim berkaitan dengan bahan api.

Sumber : BHOnline