PeoplePostInsider

TIGA ISU UTAMA MEMBABITKAN LIM GUAN ENG DAN TOMMY THOMAS

Saya baru berkesempatan meneliti surat rasmi Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara (waktu itu) kepada Lim Guan Eng yang merupakan Menteri Kewangan (waktu itu) yang ditularkan dalam media sosial semalam.

Penelitian ke atas surat bertarikh 14 Jun 2019 tersebut menunjukkan bahawa:

(1) Lim Guan Eng memang ada membuat permohonan rasmi kepada Tan Sri Tommy Thomas pada 31 Mei 2019 supaya wang dalam akaun-akaun bank milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng yang dibekukan oleh SPRM dilepaskan. Ini terbukti melalui tajuk surat Tan Sri Tommy Thomas kepada Lim Guan Eng yang berbunyi “Permohonan Untuk Melepaskan Akaun-Akaun Dibekukan Milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng” dan melalui ayat pertama pada perenggan pertama surat itu yang berbunyi “Saya merujuk kepada surat YB bertarikh 31 Mei 2019 mengenai perlepasan wang dalam akaun-akaun bank milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng”.

(2) Tan Sri Tommy Thomas memang ada mendedah dan membocorkan kepada Lim Guan Eng maklumat-maklumat sulit siasatan yang dibuat oleh SPRM ke atas Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng sepertimana yang dibekalkan oleh pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara dan pegawai-pegawai SPRM kepada Tan Sri Tommy Thomas. Ini terbukti melalui ayat kedua pada perenggan pertama surat itu yang berbunyi “Pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara dan SPRM telah menasihatkan bahawa fakta-faktanya adalah seperti berikut” diikuti oleh keseluruhan ayat pada perenggan surat itu yang berbunyi “SPRM telah merampas empat akaun bank milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng…”, keseluruhan ayat pada perenggan surat itu yang berbunyi “Sewaktu siasatan ke atas 21 cek yang diterima berhubung wang berjumlah RM4,085,561.00 daripada sumber-sumber meragukan dan tidak sah…”, keseluruhan ayat pada perenggan surat itu yang berbunyi “Mengikut penyiasat-penyiasat SPRM…” dan keseluruhan ayat pada perenggan surat itu yang berbunyi “Adalah dimaklumkan juga bahawa Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng telah, pada 26 Oktober 2018, bersetuju untuk membayar RM330,384.00…”.

(3) Tan Sri Tommy Thomas memang ada memaklumkan kepada Lim Guan Eng bahawa beliau telah mengarahkan SPRM supaya melepaskan wang dalam akaun-akaun Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng seperti yang dimohon oleh Lim Guan Eng. Ini terbukti melalui keseluruhan ayat pada perenggan terakhir surat itu yang berbunyi “Oleh itu, saya telah mengarahkan SPRM supaya menarik balik semua arahan pembekuan ke atas akaun-akaun bank milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng. SPRM diharapkan akan mengambil tindakan-tindakan perlu secepat mungkin”.

Pada hemat saya, terdapat tiga isu utama yang berbangkit daripada kandungan surat rasmi Tan Sri Tommy Thomas kepada Lim Guan Eng ini, iaitu:

(1) Apakah menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang negara bila Lim Guan Eng menulis surat rasmi atas jawatan beliau selaku Menteri Kewangan untuk memohon kepada Peguam Negara supaya melepaskan wang dalam akaun-akaun bank milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng yang dibekukan oleh SPRM?

(2) Apakah menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang negara bila Tan Sri Tommy Thomas, melalui pemakluman kepada Lim Guan Eng di dalam surat rasmi atas jawatan beliau selaku Peguam Negara, mendedah dan membocorkan kepada Lim Guan Eng maklumat-maklumat sulit siasatan yang dibuat oleh SPRM ke atas Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng sepertimana yang dibekalkan oleh pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara dan pegawai-pegawai SPRM kepada beliau?

(3) Apakah menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang negara bila Tan Sri Tommy Thomas, melalui pemakluman kepada Lim Guan Eng di dalam surat rasmi atas jawatan beliau selaku Peguam Negara, mengarahkan SPRM supaya melepaskan wang dalam akaun-akaun Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng seperti yang dimohon oleh Lim Guan Eng?

Saya melihat Datuk Seri Najib Razak, mantan Perdana Menteri, mencatatkan di dalam komen beliau begini “Guan Eng langsung tak ada kaitan dengan kes taikun itu. Kenapa pula dia perlu sibuk – siap tulis surat rasmi Kementerian Kewangan kepada Peguam Negara?” dan begini “Tommy telah mengesahkan Guan Eng telah salah guna kuasa dan Tommy telah melanggar undang-undang kerahsiaan SPRM apabila dia membocor butiran kes kepada Guan Eng”.

Sahabat saya Tan Sri Mohamed Apandi Ali, mantan Peguam Negara, pula mencatatkan di dalam komen beliau begini “Seorang Peguam Negara yang bijak tidak akan melayan apa-apa permohonan daripada mana-mana ahli Kabinet untuk melepaskan mana-mana harta yang dibekukan oleh agensi penyiasat”, begini “Seorang Peguam Negara yang bijak tidak akan campurtangan di dalam siasatan oleh agensi penyiasat, termasuk pembekuan harta”, dan begini “Tindakan menarik balik secara mudah mana-mana arahan pembekuan harta adalah satu penyalahgunaan kuasa dan tidak patut dilakukan oleh seorang Peguam Negara yang bijak”.

Begitupun, saya sendiri tidaklah bijak untuk membuat apa-apa tuduhan kepada sesiapa dan sekadar mahu melihat perbincangan di kalangan para bijak pandai undang-undang di negara kita mengenainya, khususnya bila saya melihat kepada kebisuan pihak-pihak tertentu yang sebelum ini akan sentiasa terkedepan dalam membicarakan isu-isu sebegini.

Paling tinggi pun saya sekadar mahu mengulangi gesaan yang dibuat oleh sahabat saya Mohd Haniff Khatri Abdulla bahawa “jika alegasi yang terkandung dalam laporan itu adalah benar, maka LIM GUAN ENG dan TOMMY THOMAS juga WAJIB memberi alasan sah perundangan yang digunapakai mereka berdua dalam melaksanakan tindakan itu, jika ada” dan bahawa “pihak berkuasa yang terbabit sama ada POLIS dan/atau SPRM hendaklah diberi ruang untuk menyiasat alegasi ini, dan mengambil tindakan lanjut terhadap sesiapa yang terlibat melakukan sebarang kesalahan, jika ada, berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang”.

Sumber : CheguBard

Timbalan Menteri Kerja Raya letak jawatan

Datuk Dr Shahrudin Md Salleh mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya berkuatkuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Shahrudin menegaskan beliau telah melakukan tindakan politik yang kurang tepat dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya seharusnya meletakkan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi- pengundi di Parlimen Sri Gading P149 telah memilih parti Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dari kerajaan PN,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, beliau ada mengeluarkan kenyataan bersedia melepaskan jawatannya di dalam kerajaan dan meninggalkan PN jika tindakan itu dapat mengukuhkan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Katanya, ia dilakukan demi rasa sayangnya kepada parti dan ingin melihat pengukuhan parti dan dapat memberikan sepenuhnya tumpuan kepada Bersatu.

Beliau berkata, beliau begitu menyayangi parti dan tidak mahu melihat Bersatu lemah kerana berpecah-belah serta berlaku serang menyerang yang memalukan.

Sumber : Sinar Harian

YAB Perdana Menteri hari ini kembali memasuki pejabat setelah selesai menjalani kuarantin selama 14 hari

YAB Perdana Menteri menjalani perintah kuarantin bermula 22 Mei lepas, selepas seorang daripada pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca-Kabinet di pejabat Perdana Menteri disahkan positif COVID-19.

Sepanjang tempoh tersebut, YAB Perdana Menteri telah menjalankan tugas rasmi dengan cara bekerja dari rumah. Pada Selasa, 2 Jun 2020 YAB Perdana Menteri sekali lagi telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif.

YAB Perdana Menteri memulakan tugasan hari ini dengan mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi sesi pra-Kabinet menerusi persidangan video.YAB Perdana Menteri kemudiannya mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang dihadiri semua anggota jemaah Menteri.

Mesyuarat Kabinet hari ini diadakan secara persidangan video di mana menteri-menteri Kabinet berada di dua bilik mesyuarat berasingan di bangunan Perdana Putra.

Langkah yang julung kali diadakan ini adalah bagi menjamin amalan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat dapat dilaksanakan pada setiap masa.

Sakit mata lihat sampah sana sini

Seorang remaja meraikan ulang tahun kelahiran dengan cara berbeza apabila melakukan kerja amal mengutip sampah di tepi jalan sekitar Bangi dan beberapa lokasi lain.Hazmi Nabil Mahmad Faisal, menyambut kelahiran pada 23 Mei lalu sempena usia 18 tahun dan dia memperuntukkan selama 23 hari untuk mengutip sampah di tiga lokasi bermula di Bangi, Kajang dan akan datang di Balakong sehingga 15 Jun.”Saya memang pantang melihat sampah dibuang merata-rata, sakit mata lihat sampah sana sini. Jadi tahun ini, saya sambut hari lahir dengan cara berbeza, menyumbang tenaga memelihara alam semula jadi selain menabur bakti kepada negara,” katanya.Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi itu berkata, hari ini sudah memasuki hari ketujuh dia melakukan aktiviti itu bersendirian.”Buat masa ini, sebanyak 11 beg plastik yang penuh dengan sampah saya berjaya kumpul. Saya berharap dapat capai sasaran pada hari terakhir antara 60 dan 70 beg plastik.”Pelbagai jenis sampah saya jumpa termasuk plastik dan paling ‘rare’ ada juga orang sanggup buang almari, telefon di tepi jalan,” katanya.Dalam pada itu, Hazmi Nabil berkata, usahanya itu turut mendapat sokongan ibu bapanya yang berharap kerja murni itu tidak terhenti begitu sahaja sebaliknya diteruskan.”Ibu ayah saya sangat bersetuju dengan apa yang saya buat kerana ia mengajar saya supaya memberi bukannya mendapat. Lagipun ia mengajar saya supaya tetap merendah diri dan bersyukur.”Saya juga berasa sangat puas apabila melihat kawasan yang saya kunjungi itu menjadi bersih dan gembira apabila mendapat tahu ada yang mendapat inspirasi untuk mengutip sampah di kawasan mereka,” katanya.Remaja itu turut menasihatkan masyarakat terus memelihara alam sekitar kerana tindakan membuang sampah merata-rata mendatangkan mudarat.”Lagipun sampah merata-rata membuatkan imej negara kita tercalar. Saya berharap sangat supaya masyarakat dapat tolong buang sikap seperti ini,” ujarnya.Terdahulu, Twitter Hazmi Nabil mendapat perhatian ramai selepas berkongsi aktiviti kebajikan itu, malah menerima respon positif daripada netizen.Sumber : sinar harian