PeoplePostInsider

Penyanyi Lagu Alalala Tok (Jangan Saman), Poe Meninggal Dunia

Penyanyi terkenal 90-an , Poe disahkan meninggal dunia tengah hari tadi. Allahyarham Mohd Fauzi Ahmad, 64 disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung, buah pinggang dan hati ketika dirawat di Hospital Selayang.

Arwah yang turut dikenali sebagai seorang kartunis pernah popular dengan lagu Alalala Tok (Saman) pada tahun 90-an.

Pemergiannya diiringi ucapan takziah dari rakan taulan serta Menteri Besar Negeri Sembilan.

Takziah diucapkan kepada ahli keluarga Mohd Fauzi Ahmad atau lebih mesra dikenali sebagai Poe yang meninggal dunia di Hospital Selayang pada tengah hari tadi.

Almarhum, 64, yang merupakan penyanyi lagu rasmi Team Nismilan ‘Hobin Jang Hobin’ meninggal dunia akibat komplikasi penyakit jantung, buah pinggang dan hati yang dihidapi sejak beberapa tahun lalu.

Almarhum yang juga merupakan seorang kartunis, pernah popular dengan lagu Alalala Tok (Saman) pada awal 1990 an.

Semoga ahli keluarga Poe tabah dalam menempuhi dugaan ini, dan semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Sumber : Siakap Keli

Maszlee: Jawatan PM ke-9 bukan hak mutlak Anwar

“Kalau PH hanya berharap kepada kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka sampai bila-bila pun PH tidak akan mampu melepasi angka keramat 112,” kata Maszlee Malik.

Rundingan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) haruslah tidak dengan keyakinan bahawa jawatan perdana menteri adalah hak mutlak Anwar Ibrahim.

Anggota Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik berkata, tanpa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, peluang untuk PH mengambil semula kerajaan adalah sangat tipis bahkan mustahil.

“Rundingan untuk ambil semula kerajaan daripada PN dan memilih Perdana Menteri ke-9 haruslah tidak dengan keyakinan bahawa PM ke-9 adalah hak mutlak Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dasar nombor.

“Hakikatnya jelas, tanpa Tun Dr Mahathir, peluang untuk mengambil semula kerajaan pun sangatlah tipis bahkan mustahil.

“Kalau PH hanya berharap kepada kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka sampai bila-bila pun PH tidak akan mampu melepasi angka keramat 112,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Maszlee mengimbas analogi yang pernah diberikan bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila ditanya mengapa perlu PAS bekerjasama dengan parti-parti lain seperti Semangat 46, PKR dan DAP.

“Beginilah. Umpama kita nak kait rambutan. Pokok rambutan tinggi. Galah kita tak sampai. Kalau kita cari sejengkal lagi galah, sambung dengan galah kita, Insha-Allah satu pokok rambutan kita boleh kait.

“Galah sejengkal inilah yang membantu kita dapat banyak lagi hasil,” ujarnya memetik kata-kata allahyarham.

Sumber : Malaysiakini

Covid-19: KKM sah terima kes tukang gunting rambut positif Covid-19

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima notifikasi berkenaan dengan seorang gunting rambut disahkan positif koronavirus (Covid-19) oleh Pejabat Kesihatan Titiwangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki warga asing itu menawarkan perkhidmatan gunting rambut dari rumah ke rumah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kedai gunting rambut ditutup sejak PKP, tetapi dia menawarkan gunting rambut dari rumah ke rumah mengikut permintaan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu dikesan positif Covid-19 selepas majikannya memintanya untuk melakukan ujian saringan sebelum memulakan operasi di kedai.

“KKM telah mengesan 40 kontak rapat lelaki itu termasuk pelanggannya.

Kesemua mereka diarah dikuarantin di rumah manakala pesakit berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.”

Sumber : Sinar Harian

Berjaya Tioman Resort hentikan operasi

KUALA LUMPUR: Berjaya Tioman Resort yang sudah beroperasi selama 50 tahun akan ditutup sepenuhnya bermula 15 Jun ini selepas terkesan dengan penularan COVID-19 dan alkan menjalani aktiviti pembangunan semula.

Pengurusanan kanannya dalam satu kenyataan berkata, semua kakitangan di resort itu akan diberhentikan dan akan diberi pampasan sewajarnya membabitkan kos RM8 juta.

“Adalah dengan berat hati diumumkan bahawa Berjaya Tioman Resort akan menghentikan operasinya berkuatkuasa 15 Jun ini, disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini, yang memberi kesan buruk kepada industri pelancongan.

“Sepanjang penutupan ini, pihak pengurusan akan menjalankan pembangunan semula yang amat diperlukan untuk menghidupkan semula resort ini, yang berusia lebih daripada 50 tahun,” katanya.

Beliau berkata, selepas selesai kerja pembangunan semula dibuat, pihak pengurusan akan mempertimbangkan untuk menawarkan peluang pekerjaan baharu kepada semua pekerja kami yang terjejas.

“Kami mengucapkan terima kasih di atas kesungguhan mereka untuk terus bersama dengan kami ketika di waktu susah dan senang,” katanya.

Berjaya Tioman Resort adalah sebahagian daripada portfolio yang dimiliki oleh Berjaya Land Bhd.

Di Malaysia, Berjaya Land turut mempunyai resort lain di Langkawi, pulau Redang, Bukit Tinggi, serta hotel di beberapa kawasan di Asia dan Eropah.

Kumpulan itu memiliki dan mengendalikan 13 hotel dan resort di dalam dan di luar negara.

Sumber : Berita Harian Online