PeoplePostInsider

Solskjaer mula pasang impian

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer masih ada sasaran untuk mengejar tiga kejayaan musim ini.

Dan pemenang trebel pada 1999 itu semakin yakin skuad dimilikinya ketika ini di Manchester United masih boleh mencipta tempat tersendiri dalam sejarah di Old Trafford.

Ketika raja bola sepak England itu merudum sejak kebelakangan ini, mereka bagaimanapun bangkit di bawah kendalian pengendali Norway itu.

Dan jika mereka kembali ke prestasi terbaik yang menyaksikan kelab itu tidak tewas dalam 11 perlawanan — bersama sembilan perlawanan tanpa bolos — sebelum perintah berkurung, Piala FA, Liga Europa dan kedudukan empat teratas boleh berada dalam genggaman.

Dan dengan Paul Pogba dan Marcus Rashford sudah bersedia bergandingan dengan hero baharu, Bruno Fernandes bagi aksi semula awal pagi Sabtu depan di Spurs, keyakinan mereka semakin memuncak.

United akan beraksi pada suku akhir Piala FA bertemu pasukan bawahan Liga Perdana, Norwich manakala pertemuan kelompok lapan terakhir Liga Europa dilihat sudah berada dalam tangan selepas menang 5-0 pada perlawanan pertama menentang LASK.

Ole menegaskan: “Kami tidak akan membuang mana-mana saingan atau memberi keutamaan berbeza dan jika kami menamatkannya dengan rentak sama yang kami lalui sebelum ini, kami boleh mengakhirinya dengan trofi.

“Permulaan ini amat penting, ia hampir seperti Kejohanan Eropah atau Piala Dunia.

“Anda hidup bersama, anda sangat rapat, anda akan berjaya.

“Ia menakjubkan, saya sangat bertuah dapat melatih pemain ini, mereka hebat dan kami buktikan dengan pembelian pemain ini, kami juga memikirkan mengenai masa depan.

“Kami ada rentak yang hebat sebelum rehat dan kelebihan yang kami ada ketika ini ialah seluruh skuad cergas.”

Sumber : BHOnline

Menteri Russia lawat Turki, bincang isu serantau termasuk Libya

Menteri Luar dan Pertahanan Russia akan mengadakan lawatan ke Turki hari ini, bagi mengadakan mesyuarat berhubung isu serantau, termasuk konflik di Libya.null

Mesyuarat oleh Sergei Lavrov dan Sergei Shoigu itu mendapat persetujuan Presiden Vladimir Putin serta rakan sejawatnya dari Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Sumber diplomatik Turki memberitahu, situasi di negara utara Afrika itu akan menjadi tajuk utama perbincangan dalam mesyuarat di Istanbul nanti.

Media Turki juga melaporkan, mesyuarat terbabit turut akan menyentuh mengenai konflik di Syria.

Kementerian Luar Russia mengesahkan bahawa lawatan Lavrov dan Shoigu itu adalah bagi merundingkan masalah serantau berasaskan kepentingan bersama.

Turki dan Russia, yang menjalinkan kerjasama rapat sejak beberapa tahun kebelakangan ini saling bercanggah dalam menyokong Libya, yang dicemarkan dengan kekacauan politik sejak kejatuhan diktator Muammar Gaddafi pada 2011.

Russia, bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir, menyokong Khalifa Haftar dan beliau dilaporkan turut menerima sokongan pasukan upahan Wagner, dipercayai milik sekutu Putin.

Turki bersama sekutu serantau iaitu Qatar pula menyokong kerajaan diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) di Tripoli.

Sumber : BHOnline

Daroyah perlu kosongkan kerusi DUN Sementa, gesa Amirudin

Pengerusi PKR Selangor Amirudin Shari menggesa bekas timbalan ketua wanita parti itu, Dr Daroyah Alwi untuk mengosongkan kerusi DUN Sementa yang disandangnya.

Ini selepas Daroyah, yang juga merupakan bekas ketua Wanita PKR Selangor mengumumkan keluar dari parti itu dan melepaskan jawatan timbalan speaker DUN Selangor.

“Susulan peletakan jawatan beliau, saya menggesa Dr Daroyah untuk segera meletak jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa sekiranya masih bermaruah,” katanya pada suatu kenyataan malam tadi.

Amirudin juga menyifatkan tindakan Daroyah  keluar PKR sebagai pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang telah mengundi PH pada PRU14 lalu.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi yang telah mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Tindakan ini jelas satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat yang telah memberi mandat jelas kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir Negeri Selangor melalui Pilihanraya Umum Ke-14 yang lepas,” katanya lagi.

Hilang kepercayaan pada Anwar

Amirudin yang juga menteri besar Selangor turut berkata perletakan jawatan Daroyah selaku Dewan Negeri Selangor akan diuruskan oleh Pejabat Dewan Negeri Selangor.

“Saya yakin Adun PKR serta semua lapisan jentera PKR terutamanya ketua-ketua cabang PKR merasa mual dengan politik separa matang yang tidak berkesudahan.

“PKR dan PH Selangor beriltizam berkhidmat sedaya-upaya demi menghormati mandat rakyat,” jelasnya.

Dr Daroyah merupakan wakil rakyat terbaru yang dikaitkan dengan bekas timbalan presiden PKR dan Menteri Kanan PN Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan parti itu.

Bekas timbalan ketua Wanita PKR itu berkata, keputusan berkenaan dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang dipimpin Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Saya juga meletakkan jawatan sebagai ketua cabang Kapar bersama ahli-ahli jawatankuasa Kapar termasuk pimpinan sayap wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK),” kata Daroyah ketika mengumumkan keluar parti bersama 48 pemimpin PKR lain petang tadi.

Bagaimanapun, jelasnya, selaras dengan keputusannya itu, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Adun dengan efektif bagi rakyat kawasan itu.

Dengan tindakan Daroyah keluar parti, kerusi PKR di DUN Selangor menjadi 18, tetapi masih kekal sebagai parti terbesar dalam Pakatan Harapan.

Buat masa ini, PH masih menguasai 42 kerusi di Dewan Undangan Negeri yang dianggotai 56 orang.

Bagaimanapun, lebih ramai lagi wakil rakyat dijangka akan berpaling tadah dari kalangan sekutu Azmin yang tidak berpuas hati tetapi masih berada dalam PKR.

Sumber : Malaysiakini

Timbalan Speaker Selangor umum keluar PKR

Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Dr Daroyah Alwi, mengumumkan keluar daripada parti itu, berkuat kuasa hari ini.

Dr Daroyah yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, itu turut meletakkan jawatan sebagai orang nombor dua dalam sayap wanita parti itu.

“Keputusan ini dibuat kerana saya hilang keyakinan terhadap presiden dan parti yang alpa dengan perjuangan dan hala tuju,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, petang ini.

Dr Daroyah yang juga Ketua Wanita PKR Selangor, berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepemimpinan parti itu juga gagal menyelesaikan kemelut dalaman dengan membiarkan perpecahan berterusan.

Katanya, bersama dengan beliau pada sidang media petang ini adalah 13 pemimpin akar umbi wanita PKR Selangor yang akan mengambil pendirian sama dengannya.

Sumber : BHOnline