PeoplePostInsider

Dr Daroyah umum keluar PKR

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Dr. Daroyah Alwi mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta merta.

Beliau hilang keyakinan dan kepercayaan kepada Presiden PKR dan juga pimpinan parti kerana alpa dengan idealisme perjuangan serta hala tuju parti, katanya dalam sidang media hari ini.

Daroyah juga terkilan dan kecewa kerana yang berjasa menjadi korban dan berlaku siri terancang pemecatan serta penggantungan anggota terutama melibatkan rakan seperjuangan yang lama memperkasa parti.

Sumber : MalaysiaGazette

Timbalan speaker Selangor keluar PKR

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Daroyah Alwi, yang juga Adun Sementa mengumumkan keluar dari PKR.

Beliau merupakan wakil rakyat terbaru yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali meninggalkan parti itu.

Timbalan Ketua Wanita PKR itu berkata, keputusan itu dibuat kerana hilang kepercayaan terhada kepimpinan parti yang dipimpin Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Saya bernombor ahli B1800073914 dengan ini ingin mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai timbalan ketua Wanita PKR pusat, serta keluar dari parti berkuat kuasa hari ini.null

“Keputusan ini dibuat kerana saya sudah hilang rasa yakin dan percaya kepada presiden juga parti yang alpa tentang idealisme perjuangan serta hala tuju parti,” katanya dalam sidang media hari di Shah Alam, hari ini.

Tindakan Daroyah meninggalkan PKR sememangnya sudah dijangka kerana beliau dilihat berada dalam kem bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden Zuraida Kamaruddin.

Kedudukan Daroyah dalam PKR sedikit tergugat apabila Azmin bersama kemnya bertindak keluar parti menyertai Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pada 4 Mac lalu, Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) PKR pada Mac lalu mendesak Daroyah dan ketuanya, Haniza Mohd Talha supaya menyatakan pendirian secara jelas mengenai sokongan Anwar.

Daroyah sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hati dengan penggantungan ketua Wanita PKR dan Adun Lembah Jaya Haniza Talha.

Sumber : Malaysiakini

Kerusi Menteri Besar Amirudin Goyang

Resah Amirudin Shari mengenangkan nasib ‘kerusi empuknya’ dek move yang dilakukan Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi yang mengistiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan keluar dari PKR.

Mana tidaknya, move Ketua Cabang Kapar itu telah memberi kesan apabila mengurangkan sokongan kepada dirinya sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) bagi Negeri Selangor yang bakal menentukan siapa bakal menduduki kerusi Menteri Besar seterusnya.

Amirudin dilihat hanya memiliki sokongan kuat 7 ketua cabang yang lebih dikenali sebagai ‘Team AS’ daripada keseluruhan 22 cabang yang ada di Selangor. Cabang-cabang tersebut adalah Gombak sendiri, Sepang, Kuala Selangor, Damansara, Sungai Buloh, Shah Alam dan Petaling Jaya.

9 lagi cabang adalah memihak kepada ‘team presiden’ yang selama ini lantang diperjuangkan Adun Batu 3, Rodziah Ismail.

Manakala baki 6 lagi cabang dilihat telah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti.

Kita akan melihat satu lagi sejarah bakal tercipta di negeri Selangor. Mampukah strategi ‘playsafe’ yang diamalkan Amirudin bakal mengekalkan dirinya di kerusi tersebut? Atau akhirnya memakan diri sendiri.

Mungkinkah Selangor bakal menerima Menteri Besar pertama dari kalangan wanita? Atau Langkah Rawang akan menjadi lebih mudah dan seterusnya mengangkat presidennya, Anwar Ibrahim sendiri sebagai Menteri Besar Selangor. Sama-sama kita nantikan.

Naratif ‘Melayu malas’ kesilapan PH, kata Anwar

Melabelkan “Melayu malas” adalah antara kesilapan taktikal yang berlaku ketika pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH) selepas berjaya menumbangkan BN.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, berkata PH perlu mengakui bahawa sepanjang mentadbir negara pemimpinnya telah mengeluarkan kenyataan yang melukakan hati orang Melayu.

Jelas Anwar dalam satu wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, berkata PH gagal mengatasi masalah orang Melayu dengan baik ketika mereka diprovokasi.

“Saya kata, bagi peluang, soal kemalasan sudah dijawab ratusan tahun. Baca (tulisan) Jose Rizal, The Indolence of The Filipinos.

“Baca (tulisan) Syed Hussin Alatas, Mitos Pribumi MalasThe Myth of The Lazy Native. Ini sudah dijawab.

“Tapi masih ada ketua-ketua kita yang masih menyebut, Melayu ini malas, ini melukakan,” katanya ketika wawancara.

Bagaimanapun Anwar tidak menyebut nama bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang dilihat sering melabelkan “Melayu malas“.

Mahathir sering menggunakan perkataan Melayu malas bagi membangkitkan semangat orang Melayu untuk terus maju ke depan.

Kemarahan orang Melayu terhadap kerajaan PH dimulakan dalam protes membantah retefikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada akhir tahun 2018.

Umno dan PAS telah menjadikan isu berkenaan sebagai senjata politik mereka apabila mendakwa usaha kerajaan PH untuk meretifikasikan Icerd sebagai usaha untuk melemahkan kedudukan Islam, institusi raja dan orang Melayu.

Protes orang Melayu terhadap PH diteruskan lagi berhubung kematian seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam insiden rusuhan di Kuil Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 26 November tahun lalu.

Ia ekoran kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan dan menjatuhkan hukuman setimpal terhadap pelaku yang menyebabkan kematian Muhammad Adib.

Kerajaan PH jatuh selepas 22 bulan berkuasa apabila Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertindak keluar pakatan itu pada Februari lalu.

Ia kemudiannya disusuli dengan kem bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut bertindak meninggalkan PH.

Bersatu dan kem Azmin kemudiannya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno, PAS dan parti dari Sabah.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, PH juga tersilap langkah apabila berusaha memenuhi janji untuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) “terlalu awal” terutama ketika sokongan orang Melayu semakin terhakis.

“Kemudian dalam bincang soal bahasa Cina, UEC, sekolah Cina, yang kita boleh terima, tapi pendekatan kita terlalu awal.

“Belum tegaskan kedudukan bahasa Melayu, kemantapan bahasa Melayu, usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, kita sudah bicara soal bahasa lain.

“Padahal kita harus tegaskan perkara ini dulu kerana PH pakatan baru, kerajaan baru. Tegaskan kedudukan bahasa Melayu, kemudian tonjolokan sebarkan masyarakat untuk masa depan anak-anak muda, mesti kuasai bahasa Inggeris dengan baik,” katanya lagi.

Sumber : Malaysiakini