PeoplePostInsider

Berita | Niat baik pada Ramadan bertukar jadi pembaziran makanan di Lembah Klang

Badan amal yang melaksanakan program agihan makanan di Lembah Klang kini menghadapi masalah pembaziran sepanjang Ramadan apabila ramai individu, kumpulan politik dan selebriti turut melaksanakan program yang sama bagi membantu golongan miskin dan gelandangan.

Walaupun program pengagihan makanan kepada golongan miskin bandar itu dilihat sebagai satu amalan kebajikan, namun malangnya kebanyakan makanan yang diagihkan sering berakhir di tong sampah.

Kumpulan sukarelawan Pertiwi yang menjalankan beberapa program agihan makanan di Kuala Lumpur sering menyaksikan beberapa kumpulan konvoi mengagihkan makanan di beberapa lokasi utama seperti Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Kadang-kadang gelandangan dapat sehingga 20 bungkus nasi beriani dan 50 berus gigi pada satu malam,” kata naib presidennya, Munirah Abd Hamid kepada MalaysiaNow.

Menurutnya, lebihan makanan yang diterima golongan itu akhirnya akan dibuang.

NGO Kechara Soup Kitchen, sebuah lagi pertubuhan amal turut mengalami situasi yang sama di mana ia turut berlaku sebelum pandemik Covid-19.

“Sebelum pandemik, seorang boleh dapat hingga 16 ke 17 bungkus makanan panas bagi satu malam,” kata pengarah operasinya, Justin Cheah.

Tahun ini, Kechara menjangkakan pembaziran akan semakin meningkat berikutan kelonggaran sekatan Covid-19 pada Ramadan selari dengan peralihan ke fasa endemik.

Kumpulan itu yakin kelonggaran sekatan itu akan menjadikan semakin banyak inisiatif memberi makanan kepada golongan miskin dan gelandangan sekali gus akan menyebabkan kebanyakannya berakhir di tong sampah.

Tahun lalu, ketika pasar Ramadan hanya sempat beroperasi selama beberapa hari, syarikat pengurusan sampah Alam Flora merekodkan pembaziran sebanyak 33,000 tan makanan sepanjang bulan puasa itu.

Kumpulan pengagihan makanan sering dipersalahkan sekiranya jumlah makanan dibazirkan, atau dibuang ke tong sampah atau dibiarkan di tepi jalan.

Keadaan yang berlaku ini menimbulkan persepsi organisasi tersebut seakan menyekat golongan miskin dan gelandangan dalam usaha untuk membina kehidupan mereka semula.

“Salah faham tentang konsep dapur jalanan ini ialah kami beri makanan kepada mereka sehingga mereka tak perlu kerja,” kata Cheah yang bersama dengan Kechara sejak 14 tahun lalu.

“Ini persepsi yang tidak betul.”

Tahun ini, Kechara meningkatkan usaha mereka dalam membendung pembaziran berlaku sepanjang Ramadan.

“Kami putuskan untuk agihkan makanan kering yang boleh tahan lebih lama dan barangan keperluan berbanding makanan panas,” kata Cheah.

Sementara itu, Pertiwi pula beroperasi secara bergilir dengan NGO lain bagi mengelak berlakunya pertindihan.

“Kami faham ramai yang nak buat amal kebajikan, tapi kami rasa sangat perlu orang ramai kerjasama dengan NGO tempatan yang lebih biasa bergaul dengan kumpulan komuniti terpinggir supaya kita tidak membazirkan banyak makanan.

“Bukan kami tak benarkan mereka agihkan makanan, namun kami mahu orang ramai berfikir dua kali dan berkomunikasi dengan NGO jika mereka nak sumbang kepada orang yang memerlukan pada Ramadan. ”

Seorang sukarelawan veteran, Munirah turut bersetuju.

“Orang ramai fikir kita tak cukup makanan, tapi ini Malaysia, kita sudah banyak makanan, dan banyak dibazirkan.

“Inilah masalah besar kita sepanjang Ramadan ini.” – Malaysia Now

oleh: Syaza Norazharuddin

Berita | Buku ‘Mari Kenali Sawit’ diedar di sekolah kerajaan, swasta terpilih

KLANG – Sejumlah 300,000 naskhah buku ‘Mari Kenali Sawit’ akan diedarkan di sekolah rendah dan menengah kerajaan serta swasta terpilih seluruh negara sebagai usaha kerajaan memberi pendedahan berhubung kelapa sawit kepada murid serta pelajar.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, penerbitan buku tersebut adalah mengenai fakta kelapa sawit yang betul, kepentingan serta sumbangan industri komoditi itu kepada pembangunan sosioekonomi dan pendapatan negara.

Katanya, pengedaran buku itu dibuat secara berperingkat dan diberi secara percuma.

“Fasa pertama pengedaran buku itu akan dilaksanakan menerusi program Jelajah Mari Kenali Sawit melibatkan 100 sekolah menengah kebangsaan dan swasta terpilih di semenanjung.

“Fasa seterusnya pula akan melibatkan sekolah di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Perdana Jelajah Mari Kenali Sawit di sini, pada Rabu.

Zuraida berkata, program tersebut akan mempunyai beberapa komponen dan pengisian antaranya penganjuran ceramah, bengkel dan taklimat mengenai maklumat tepat berkaitan khasiat serta kebaikan kelapa sawit Malaysia.

“Selain itu, program pertandingan pidato untuk pelajar sekolah akan turut diadakan untuk melahirkan duta kecil bagi mempromosikan minyak kelapa sawit keluaran Malaysia,” katanya. – Bernama

kredit foto: Bernama

Berita | Peniaga ayam di Pulau Pinang jual ikut harga ditetapkan

BUTTERWORTH: Peniaga ayam di Pasar Awam Bagan Ajam, di sini menjual ayam pada harga RM8.90 sekilogram seperti ditetapkan kerajaan dalam skim kawalan harga.

Wakil peniaga, Zailan Abu Kassim, 59, berkata kesemua mereka terpaksa akur dengan penetapan harga itu biarpun ia tidak mendatangkan keuntungan seperti dahulu.

“Isu harga ayam ini dah terlalu lama sampai tak tahu nak kata apa. Sebagai peniaga ikut sahajalah saranan yang ditetapkan.

“Apatah lagi, sekarang pengguna pun tersepit sebab bukan kata ayam sahaja naik harga tetapi boleh kira semua barang sekarang mengalami kenaikan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Zailan berkata, dia yang berniaga ayam sejak 20 tahun lalu mengakui keuntungan diperoleh menyusut, namun masih bersyukur kerana boleh bertahan sehingga hari ini.

“Dulu memang seronok berniaga ayam terutama sekali bila raya, sekarang ini seronok juga tapi tak dapat dibandingkan dengan dulu betapa meriahnya suasana di pasar awam dengan kehadiran pengunjung.

“Harga ayam sekarang pula tak tentu, tambah saya ada dengar harga dedak akan dinaikkan yang semestinya akan memberi tekanan kepada peniaga.

“Mana tidaknya, di peringkat penternak, pemborong yang naikkan harga, tiba-tiba peniaga juga dipersalahkan pengguna,” katanya yang menjual ayam sekitar 80 ke 100 ekor sehari.

Dalam pada itu, Zailan berkata, kesemua peniaga ayam di situ juga mencari pendapatan sampingan melalui penjualan bahagian dalam ayam seperti hati, pedal dan rangka ayam.

“Melalui penjualan ini (bahagian dalaman ayam) yang mendatangkan sedikit untung kepada peniaga,” katanya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang memaklumkan bahawa tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga ayam. – Berita Harian

Oleh: Nur Izzati Mohamad

kredit foto: Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad

Berita | Kaji semula MoU dengan kerajaan, ahli Parlimen PKR beritahu PH

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen PKR menggesa Pakatan Harapan (PH) mengkaji semula komitmen terhadap memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bersama kerajaan Ismail Sabri Yaakob, susulan keputusan tidak membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam sidang khas Dewan Rakyat, Isnin ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, Majlis Presiden PH pernah menyatakan kepada umum bahawa jika kerajaan gagal melaksanakan RUU ALP, maka MoU berkenaan akan dibatalkan.

“RUU ALP adalah teras dan intipati dalam MoU.

“Jadi, sekarang adalah “moment of truth” kepada Majlis Presiden PH. Adakah mereka masih berpegang dengan pendirian berani mereka itu?,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan cadangan RUU Anti Lompat Parti.

Beliau berkata, RUU itu tidak akan dibentangkan dalam sidang khas Isnin ini, sebaliknya ia akan dihantar balik untuk kajian lanjut berhubung definisi “lompat parti”.

Kenyataan Wan Junaidi itu mengesahkan laporan FMT terdahulu yang memetik sumber sebagai berkata, Jemaah Menteri meminta semakan ke atas RUU itu dibuat, lima hari sebelum sidang khas diadakan.

Sumber berkata, perdana menteri akan mempengerusikan mesyuarat mengenai RUU itu pada Ahad ini, dengan semua ahli Parlimen dan senator dipanggil.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, alasan masalah tafsiran “lompat parti” adalah tidak munasabah dan didakwa merupakan usaha untuk menggagalkan kewujudan Akta Anti Lompat Parti.

Jelasnya, masalah tafsiran “lompat” itu boleh diperbaiki, diperkemas dan diperhalusi dari semasa ke semasa melalui pindaan akta biasa di Parlimen.

“Bukanlah sesuatu yang rumit. Yang penting wujudkan segera Akta Anti Lompat parti sekarang. Bukan esok, bukan lusa. Berlengah-lengah itu sebenarnya adalah dalih untuk mengelak undang-undang antilompat parti berjaya digubal di negara ini,” katanya.

Beliau mendakwa, tindakan menggagalkan Akta Anti Lompat Parti juga adalah “langkah balas dendam” atas kekalahan kerajaan dalam usul berkaitan akta Sosma baru-baru ini yang ditentang sepenuhnya oleh ahli Parlimen pembangkang.

“Kali ini di pihak kerajaan pula ingin melihat RUU ALP digagalkan daripada dibawa ke Parlimen. Perbuatan mereka seperti ‘ibu bapa yang membunuh anak sendiri’,” katanya. – FMT