PeoplePostInsider

COVID-19: AS catat lebih 68,000 kes dalam 24 jam

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu mencatatkan 68,212 kes COVID-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Menurut Johns Hopkins University yang mengemaskini angka semasa, bilangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan di negara yang paling teruk dilanda COVID-19 itu adalah sebanyak 4,174,437 kes, kata universiti yang berpusat di Baltimore setakat 8.30 malam (waktu tempatan).

Sebanyak 1,067 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan keseluruhan kes kematian adalah 146,391 orang.

Meskipun terdapat penurunan jangkitan pada penghujung musim bunga, AS dilihat menyaksikan semula peningkatan kes terutama di negeri selatan seperti California, Texas, Alabama dan Florida.

Sepanjang 12 hari lalu, bilangan jangkitan baharu yang dilaporkan setiap hari sudah menjangkaui 60,000 kes.

Saintis berpendapat peningkatan angka kematian itu disebabkan peningkatan jangkitan sekitar tiga atau empat minggu lalu.

Kematian harian untuk tempoh empat hari yang lalu melebihi 1,000 orang. -AFP

Sumber BH Online

Komuniti | SEMANGAT MERDEKA BARU

Seakan menyerap semangat Wanita Besi Britain, Margaret Thetcher yang juga mantan Perdana Menteri UK, YBM Hajah Zuraida Kamaruddin melaungkan cogankata ‘Kerajaan Baru, Semangat Merdeka Baru’ sebagai pelonjak patriotik masyarakat.

Semasa mula-mula Margaret menjadi PM UK pada tahun 1979, negara tersebut dihimpit masalah pengangguran yang tinggi akibat kemelesetan ekonomi dunia dan ketika itu juga gerakan pembebasan Ireland Utara, IRA dan Sein Fein menjadi ancaman keselamatan dalam negeri di Britain.

Namun pada tahun 1981 telah berlaku Perang Falklands apabila junta Argentina telah menawan wilayah naungan British tersebut. Perang ini memberi makna besar kepada UK dan kerajaan pimpinan Margaret Thetcher berusaha keras menawan kembali wilayah itu. Mereka berjaya dan semangat patriotik rakyat Britain kembali melonjak.

Kebetulan pula negara kita turut menghadapi dan melalui ‘peperangan’ melawan Covid-19. Ternyata usaha dan langkah jitu kerajaan Perikatan Nasional mendapat keyakinan rakyat. Wabak Covid-19 berjaya ditanggani tetapi negara masih belum memenangi 100 peratus walaupun mencapai kadar sembuh 97 peratus.

Konvoi Merdeka yang digerakkan oleh Parlimen Ampang menjadi pentas terbaik melonjak semangat patriotik rakyat, sambil kesempatan beramah mesra dengan penduduk dan mengedarkan bendera Jalur Gemilang.

Dalam ucapan perasmiannya, YBM Zuraida melahirkan rasa syukur dan terima kasih tak terhingga kepada ‘frontliners’ seperti anggota Bomba, PDRM dan petugas semua agensi.

Beliau berharap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mendapat semangat baru untuk menyambut Hari Kemerdekaan 31 Ogos ini, dan mengambil pendekatan sama-sama menegur pihak yang tidak menghormati bendera negara.

_PPI

Sukan | Esok saingan penutup EPL musim ini

Liga Perdana Inggeris musim ini sangat istimewa buat Liverpool meraih kejuaraan EPL setelah liga berehat sementara akibat wabak Covid-19.

Kehebatan The Reds diakui tiap pasukan dalam EPL, sejak awal musim pasukan bimbing J├╝rgen Klopp memperlihatkan kesungguhan memenangi tiap perlawanan dan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah 20 perlawanan berturut.

Esok (26 Julai 2020) menjadi saingan penutup EPL musim 2019/20. Dua pasukan teratas liga iaitu Liverpool dan Manchester City samada menang, seri atau kalah tidak akan mengubah sebarang kedudukan masing-masing.

Manakala dua pasukan bawahan liga, Norwich City dan Bournemouth secara matematik sudah pun tersingkir ke EFL Championship. Samada menang, seri atau kalah, kedua-dua pasukan ini tidak mengubah sebarang kedudukan.

Aston Villa (17) dan Watford (18) berkongsi mata sama. Mereka wajib menang perlawanan esok jika mahu kekal dalam EPL musim depan. Salah satu akan tersingkir ke EFL Championship mengiringi Norwich dan Bournemouth.

Chelsea, Manchester United dan Leicester City akan saling mengejar kedudukan ketiga. Jika Leicester kalah malam esok dan Wolves mampu mengejutkan Chelsea, kedudukan kelima bakal bertukar tempat kepada Wolves. The Red Devils akan sedaya upaya mengungguli saingan akhir untuk kekal di tangga ketiga liga.

Manchester United

Pasukan-pasukan yang berada di kedudukan ketujuh hingga 16 liga akan memperbaiki kedudukan masing-masing. Semua pasukan dalam kelompok ini boleh ditakrifkan sebagai kekal selamat dan bakal meneruskan saingan EPL musim 2020/2021.

Juara EFL Championship musim ini, Leeds United bakal menjadi pasukan baru di EPL musim depan.

Leeds United juara EFL Championship 2019/2020

Manakala empat lagi pasukan EFL Championship iaitu West Brom (2), Brentford (3), Fulham (4) dan Cardiff City (5) bakal bersaing dalam pusingan penentuan layak ke EPL. Hanya dua pasukan yang akan berpindah ke EPL dalam pusingan tersebut.

_PPI

Lelaki Bangladesh ditemubual Al Jazeera ditahan imigresen

PETALING JAYA: Lelaki warganegara Bangladesh yang ditemubual media antarabangsa Al Jazeera dalam dokumentari kontroversi tentang pendatang asing sudah ditahan imigresen.

Penahanan Md Rayhan Kabir, 25, disahkan Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Memetik laporan Harian Metro, Md Rayhan dikatakan ditahan ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur hasil risikan imigresen.

Rayhan menjadi sasaran pihak berkuasa selepas dia muncul dalam episod program 101 East terbitan Al Jazeera tentang dakwaan penganiayaan terhadap pendatang asing semasa tempoh kawalan baru-baru ini.

Polis kemudian menyiasat saluran berita yang berpangkalan di Qatar itu kerana menghasut.

Gambar Rayhan disiarkan beberapa laman berita bersama butiran pasport Bangladeshnya yang didedahkan imigresen kepada media.

Pihak berkuasa berkata, Rayhan dikehendaki untuk siasatan bawah Akta Imigresen.

Ratusan pekerja asing ditahan di Kuala Lumpur ketika pelaksanaan PKP dan mereka kemudiannya ditempatkan di pusat tahanan imigresen.

Kerajaan dilaporkan berkata, langkah itu perlu untuk mengurangkan risiko Covid-19 dalam kalangan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin.

Peningkatan kes jangkitan Covid-19 di pusat tahanan membawa kepada dakwaan bahawa tahanan ditempatkan dalam persekitaran yang sesak. Dakwaan itu ditepis Putrajaya.

Sumber Free Malaysia Today FMT