PeoplePostInsider

Jiwa kental gadis penghantar makanan

“Saya memilih kerjaya penghantar makanan kerana minat dengan motosikal sejak sekolah dan mempunyai lesen motosikal pada usia 17 tahun,” kata Farah Nur Syifa Abdullah, yang mesra dipanggil Fafa.

Fafa, 20, berkata, walaupun kerjaya itu didominasi kaum lelaki, ia tidak mematahkan semangatnya mencari rezeki sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai penghantar makanan.

Katanya, ramai pelanggan terkejut dan janggal ketika dia menghantar makanan kerana kebiasaannya penghantar makanan adalah lelaki.”Walaupun saya perempuan, layanan dan cara kerja tetap sama seperti penghantar makanan lain.

Saya perlu menghantar makanan kepada pelanggan dengan cepat, tidak kira cuaca panas terik atau hujan.”Saya pernah dimarahi pelanggan kerana lambat menghantar makanan kerana waktu itu pesanan terlalu banyak,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Gadis berasal dari Ipoh, Perak itu berkata, sejak mempunyai lesen motosikal, dia menjadikan kenderaan dua roda itu sebagai pengangkutan utama bagi memudahkan pergerakannya.Menurutnya, pada awalnya, ibu bapanya bimbang dengan keselamatannya sebagai penghantar makanan, namun dia membuktikan boleh menjaga diri dan sentiasa mengambil langkah keselamatan semasa menunggang.

“Saya sering mengikuti konvoi kapcai bersama kumpulan LC Super Spirit dan kali terakhir mengikuti kembara itu pada 5 Januari lalu.”Saya nekad menjadi penghantar makanan selepas tamat pengajian di GiatMara Taiping dalam Kursus Solekan dan Terapi Kecantikan kerana mengetahui peluang kerja terhad.

“Selepas tempoh praktikal tamat di salon dan spa kecantikan pada Mac lalu, saya memilih menjadi penghantar makanan sepenuh masa,” katanya.Menurutnya, pendapatan menerusi kerjaya itu agak lumayan berikutan permintaan tinggi sepanjang PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, pada zaman ini, remaja tidak boleh memilih pekerjaan dan sebagai kaum wanita perlu berani meneroka pelbagai bidang.

Setiap Nyawa Berharga, Sayangi Diri & Keluarga

Sentiasa menyampaikan nasihat dan berpesan-pesan tentang kebaikan adalah antara saranan kesejahteraan hidup yang diterapkan dalam ajaran Islam.

Maka kita boleh lihat betapa gigih dan perihatin YBM Hajah Zuraida Kamaruddin menyampaikan nasihat supaya setiap masyarakat menghargai nyawa dan menyayangi keluarga, khusus dalam isu kemalangan yang disebabkan oleh pemandu mabuk.

Setiap orang ada insan yang disayangi, dikasihi dan dicintai. Hal ini yang harus menjadi keutamaan tiap pemandu. Jangan sesekali memandu ketika mabuk.

Padah akibat kecuaian pemandu mabuk seringkali mengakibatkan kematian atau kedukaan kepada orang lain. Ini yang mahu dielakkan.Ingatan penting daripada YBM Hajah Zuraida.

-setiap nyawa adalah berharga, sayangi diri dan keluarga.-

Penjana – Pelan Jana Semula Ekonomi Negara

Antara inisiatif #PENJANA yang bernilai RM35 bilion istimewa untuk rakyat :

1) Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion yang dilanjutkan selama 3 bulan lagi.

2) Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion termasuk insentif bagi melibatkan penggangur berumur di bawah 40 tahun, penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan OKU sebanyak RM1,000 sebulan.

3) RM4,000 boleh dituntut daripada PERKESO oleh mereka yang hilang pekerjaan, walaupun mereka bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan.

4) Kerajaan akan memperuntukkan RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia yang memberi manfaat kepada lebih daripada 200 ribu orang.

5) Kerajaan akan memberikan geran kepada pengendali taska untuk mematuhi dan melaksanakan SOP yang ditetapkan selain insentif cukai pendapatan individu untuk yuran yang dibayar kepada taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak sehingga RM3,000.

6) Program MY30 akan diperkenalkan untuk pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang, berkuatkuasa 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

7) 300,000 OKU, ibu tunggal tersenarai dengan JKM layak terima bayaran one-off RM300 dibayar sebelum Aidiladha.

8) Kemudahan skim PEKA B40 akan diperkasakan dengan penambahan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membiayai saringan kesihatan dan kemudahan peralatan perubatan.

9) Perkhidmatan internet dengan kapasiti 1 gigabyte secara percuma akan diberikan kepada semua pengguna dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari untuk melayari laman web berkaitan pendidikan dan aplikasi persidangan video sehingga 31 Disember 2020.

10) Kerajaan akan tubuh Pasukan Petugas Pengambilan Semula Pekerjaan Nasional dipengerusikan bersama Menteri Kewangan dan Menteri Sumber Manusia.

11) Skim pembiayaan pelancongan bernilai RM1 bilion bantu sektor pelancongan.

12) Tambahan RM2 bilion untuk dana Penjana PKS, maksimum RM500,000 setiap PKS.

13) Insentif cukai dalam pelbagai bentuk perbelanjaan operasi dalam kebiasaan baharu seperti kos PPE dan ujian saringan kepada pengusaha syarikat.

14) Kerajaan perkenal kempen Shop Malaysia Online, galak perbelanjaan dalam talian melalui platform e-dagang.

15) Kerajaan sediakan lebih banyak perkhidmatan dalam talian termasuk proses mati setem dan e-temuduga biasiswa kerajaan.

16) Geran Padanan Digital akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

17) Kempen Pemilikan Rumah akan diperkenalkan semula untuk rancakkan pasaran hartanah.

18) Sejumlah RM500 juta akan disediakan di bawah SME Technological Transformation Fund sebagai pinjaman mudah.

19) Kerajaan setuju lanjut dan seragamkan waktu operasi UTC berkuatkuasa 1 Julai.

20) Smart Automation Grant diperuntukkan berjumlah RM100 juta dan setiap syarikat yang layak akan terima geran sehingga RM1 juta.

21) Pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya bermula 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021.

22) Pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang disediakan oleh pengendali premis penginapan dilanjutkan mulai 1 September 2020 hingga 30 Jun 2021.

23) Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang telah diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

24) Beberapa program dan kemudahan kewangan untuk menjana semula industri kreatif negara yang berjumlah sebanyak RM225 juta akan dilaksanakan melalui kerjasama antara MyCreative Ventures, MDEC dan pihak swasta.

25) Bagi industri pertanian dan makanan, kemudahan pinjaman Dana Agrofood sebanyak RM350 juta akan diperuntukkan untuk memastikan kelangsungan pengusaha pertanian dan komoditi dalam sektor ini.

26) Pengusaha pertanian bandar juga akan diberi bantuan bernilai RM500 seorang dan RM50,000 untuk setiap komuniti.

27) Kerajaan akan kredit RM50 dalam akaun e-dompet yang dipadankan dengan baucar diskaun dan cashback bernilai RM50 bermula Julai 2020.

28) Kerajaan setuju kadar cukai 0 peratus selama 10 tahun bagi pelaburan baharu di dalam sektor pengilangan dengan pelaburan dalam harta tetap di antara RM300 juta hingga RM500 juta.

29) RM500 juta untuk SUKUK prihatin yang akan dilaksanakan suku ketiga tahun ini.

30) Kerajaan bersetuju untuk menggubal Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah Sementara) yang merupakan pelepasan sementara atau temporary relief daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan.

TIGA ISU UTAMA MEMBABITKAN LIM GUAN ENG DAN TOMMY THOMAS

Saya baru berkesempatan meneliti surat rasmi Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara (waktu itu) kepada Lim Guan Eng yang merupakan Menteri Kewangan (waktu itu) yang ditularkan dalam media sosial semalam.

Penelitian ke atas surat bertarikh 14 Jun 2019 tersebut menunjukkan bahawa:

(1) Lim Guan Eng memang ada membuat permohonan rasmi kepada Tan Sri Tommy Thomas pada 31 Mei 2019 supaya wang dalam akaun-akaun bank milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng yang dibekukan oleh SPRM dilepaskan. Ini terbukti melalui tajuk surat Tan Sri Tommy Thomas kepada Lim Guan Eng yang berbunyi “Permohonan Untuk Melepaskan Akaun-Akaun Dibekukan Milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng” dan melalui ayat pertama pada perenggan pertama surat itu yang berbunyi “Saya merujuk kepada surat YB bertarikh 31 Mei 2019 mengenai perlepasan wang dalam akaun-akaun bank milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng”.

(2) Tan Sri Tommy Thomas memang ada mendedah dan membocorkan kepada Lim Guan Eng maklumat-maklumat sulit siasatan yang dibuat oleh SPRM ke atas Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng sepertimana yang dibekalkan oleh pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara dan pegawai-pegawai SPRM kepada Tan Sri Tommy Thomas. Ini terbukti melalui ayat kedua pada perenggan pertama surat itu yang berbunyi “Pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara dan SPRM telah menasihatkan bahawa fakta-faktanya adalah seperti berikut” diikuti oleh keseluruhan ayat pada perenggan surat itu yang berbunyi “SPRM telah merampas empat akaun bank milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng…”, keseluruhan ayat pada perenggan surat itu yang berbunyi “Sewaktu siasatan ke atas 21 cek yang diterima berhubung wang berjumlah RM4,085,561.00 daripada sumber-sumber meragukan dan tidak sah…”, keseluruhan ayat pada perenggan surat itu yang berbunyi “Mengikut penyiasat-penyiasat SPRM…” dan keseluruhan ayat pada perenggan surat itu yang berbunyi “Adalah dimaklumkan juga bahawa Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng telah, pada 26 Oktober 2018, bersetuju untuk membayar RM330,384.00…”.

(3) Tan Sri Tommy Thomas memang ada memaklumkan kepada Lim Guan Eng bahawa beliau telah mengarahkan SPRM supaya melepaskan wang dalam akaun-akaun Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng seperti yang dimohon oleh Lim Guan Eng. Ini terbukti melalui keseluruhan ayat pada perenggan terakhir surat itu yang berbunyi “Oleh itu, saya telah mengarahkan SPRM supaya menarik balik semua arahan pembekuan ke atas akaun-akaun bank milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng. SPRM diharapkan akan mengambil tindakan-tindakan perlu secepat mungkin”.

Pada hemat saya, terdapat tiga isu utama yang berbangkit daripada kandungan surat rasmi Tan Sri Tommy Thomas kepada Lim Guan Eng ini, iaitu:

(1) Apakah menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang negara bila Lim Guan Eng menulis surat rasmi atas jawatan beliau selaku Menteri Kewangan untuk memohon kepada Peguam Negara supaya melepaskan wang dalam akaun-akaun bank milik Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng yang dibekukan oleh SPRM?

(2) Apakah menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang negara bila Tan Sri Tommy Thomas, melalui pemakluman kepada Lim Guan Eng di dalam surat rasmi atas jawatan beliau selaku Peguam Negara, mendedah dan membocorkan kepada Lim Guan Eng maklumat-maklumat sulit siasatan yang dibuat oleh SPRM ke atas Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng sepertimana yang dibekalkan oleh pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara dan pegawai-pegawai SPRM kepada beliau?

(3) Apakah menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang negara bila Tan Sri Tommy Thomas, melalui pemakluman kepada Lim Guan Eng di dalam surat rasmi atas jawatan beliau selaku Peguam Negara, mengarahkan SPRM supaya melepaskan wang dalam akaun-akaun Tan Sri Dato’ Lim Soon Peng seperti yang dimohon oleh Lim Guan Eng?

Saya melihat Datuk Seri Najib Razak, mantan Perdana Menteri, mencatatkan di dalam komen beliau begini “Guan Eng langsung tak ada kaitan dengan kes taikun itu. Kenapa pula dia perlu sibuk – siap tulis surat rasmi Kementerian Kewangan kepada Peguam Negara?” dan begini “Tommy telah mengesahkan Guan Eng telah salah guna kuasa dan Tommy telah melanggar undang-undang kerahsiaan SPRM apabila dia membocor butiran kes kepada Guan Eng”.

Sahabat saya Tan Sri Mohamed Apandi Ali, mantan Peguam Negara, pula mencatatkan di dalam komen beliau begini “Seorang Peguam Negara yang bijak tidak akan melayan apa-apa permohonan daripada mana-mana ahli Kabinet untuk melepaskan mana-mana harta yang dibekukan oleh agensi penyiasat”, begini “Seorang Peguam Negara yang bijak tidak akan campurtangan di dalam siasatan oleh agensi penyiasat, termasuk pembekuan harta”, dan begini “Tindakan menarik balik secara mudah mana-mana arahan pembekuan harta adalah satu penyalahgunaan kuasa dan tidak patut dilakukan oleh seorang Peguam Negara yang bijak”.

Begitupun, saya sendiri tidaklah bijak untuk membuat apa-apa tuduhan kepada sesiapa dan sekadar mahu melihat perbincangan di kalangan para bijak pandai undang-undang di negara kita mengenainya, khususnya bila saya melihat kepada kebisuan pihak-pihak tertentu yang sebelum ini akan sentiasa terkedepan dalam membicarakan isu-isu sebegini.

Paling tinggi pun saya sekadar mahu mengulangi gesaan yang dibuat oleh sahabat saya Mohd Haniff Khatri Abdulla bahawa “jika alegasi yang terkandung dalam laporan itu adalah benar, maka LIM GUAN ENG dan TOMMY THOMAS juga WAJIB memberi alasan sah perundangan yang digunapakai mereka berdua dalam melaksanakan tindakan itu, jika ada” dan bahawa “pihak berkuasa yang terbabit sama ada POLIS dan/atau SPRM hendaklah diberi ruang untuk menyiasat alegasi ini, dan mengambil tindakan lanjut terhadap sesiapa yang terlibat melakukan sebarang kesalahan, jika ada, berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang”.

Sumber : CheguBard