PeoplePostInsider

Dr Masliza wanita Malaysia pertama sandang jawatan Profesor Madya di Universiti Oxford

KUALA LUMPUR, 11 Julai — Dr Masliza Mahmod melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya bagi Perubatan Kardiovaskular di Universiti Oxford, United Kingdom baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengucapkan tahniah kepada Dr Masliza atas kenaikan pangkat itu serta mengakui kebijaksanaan dan pencapaian hebat beliau sebagai pakar kardiologi.

“Beliau sememangnya seorang pakar kardiologi yang bijak dan meskipun berdepan pelbagai kesulitan serta cabaran, ketabahan dan minat mendalam beliau dalam penyelidikan klinikal menjadikan beliau seorang pakar kardiologi akademik yang ulung.

“Tiada apa yang boleh menghalang beliau untuk terus melangkah ke tahap lebih tinggi. Kita amat berbangga dengan pencapaian beliau… ,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook.

Menurut Jabatan Perubatan Radcliffe di Universiti Oxford, penyelidikan Dr Masliza memfokus kepada penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular (CMR), teknik-teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baharu untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.

Doktor berusia 47 tahun dari Batu Pahat, Johor itu kini menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).

Ahli Royal College of Physicians (MRCP) dari London itu memiliki Ijazah Sarjana Perubatan Dalaman (MMed) dari Malaysia dan ijazah perubatan awal (MBChB) dari Universiti Otago, New Zealand.

Sumber : BERNAMA

Kerajaan tumpu bantu isi rumah RM2,500 ke bawah

Kerajaan memberikan tumpuan serius untuk membantu kumpulan bersasar iaitu isi rumah yang berpendapatan dibawah RM2,500, antaranya termasuk kelompok masyarakat Orang Asli dan peneroka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, jika sebelum ini sasaran sememangnya tertumpu kepada kumpulan B40 yang mempunyai satu kelompok sahaja, namun kini ia dipecahkan kepada empat kelompok, dengan paling rendah adalah kelompok dalam kategori B10.

“Dulu hanya ada kalangan kelompok B40 sahaja, tetapi sekarang ada empat kelompok dibawahnya dan yang paling rendah dalam kelompok itu adalah B10 yang mana pendapatan isi rumah mereka hanya RM2,500 ke bawah.

“Jadi tumpuan kerajaan akan disasarkan kepada kelompok ini, dan dengan mendapat maklumat tepat kita akan rangka strategi untuk membantu mereka secara bersasar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Petugas dan Pemimpin Gugusan Felda Kemahang di Dewan Semai Bakti Felda Kemahang 2 di Tanah Merah, hari ini.null

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional ialah pada kadar RM2,208 iaitu dalam kelompok sepuluh peratus terbawah isi rumah.

Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata, pendapatan penengah tumbuh sederhana 3.9 peratus setahun kepada RM5,873 pada tahun 2019 dan pendapatan purata pula meningkat 4.2 peratus setahun kepada RM7,901.

Mustapa berkata kemiskinan di luar bandar lebih tinggi dari kemiskinan di bandar, dan juga kemiskinan di kalangan orang Melayu adalah lebih tinggi berbanding kaum India dan Cina serta masyarakat di pedalaman Sabah.

Mengulas perkara itu lagi Mustapa berkata beliau yakin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah merangka strategi yang lebih baik untuk menangani garis kemiskinan negara.

Selain itu katanya kerajaan juga tidak akan melupakan masyarakat Orang Asli yang juga sedang menanti strategi yang lebih mantap untuk memajukan ekonomi mereka dan perkara itu akan diperhalusi dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Sementara itu Mustapa berkata dalam minggu ini beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pasukan Petugas khas Felda dalam usaha menangani pelbagai isu membabitkan Felda, di mana beliau akan mendengar taklimat mengenai cadangan untuk memantapkan Felda sebelum dibentangkan kepada perdana menteri September ini.

Sumber : Malaysiakini

“Kita nak melihat model baru Felda untuk mermpelbagaikan pendapatan membabitkan lebih 110,000 keluarga semuanya,” katanya.

Sambutan 50 tahun Rukun Negara satu langkah tepat

SHAH ALAM – Yayasan Perpaduan Malaysia amat mengalu-alukan pelancaran ulang tahun ke-50 Rukun Negara dan menyifatkan sambutan itu dibuat tepat pada masanya serta wajar disokong semua pihak.

Pemegang Amanah Yayasan berkenaan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ketika Rukun Negara diisytiharkan pada tahun 1970 selepas kejadian rusuhan kaum, semua pihak sama ada kerajaan, swasta dan masyarakat amat memberi perhatian dan fokus untuk mempromosi Rukun Negara kepada rakyat.

Bagaimanapun, menurutnya, pada tahun 1990-an Rukun Negara tidak lagi diberi perhatian dan tumpuan, maka dengan adanya sambutan itu ia dilihat boleh memberi pengiktirafan kepada Rukun Negara serta kepentingannya kepada masyarakat.

“Rukun Negara berasaskan kepada lima prinsip yang berhubung dengan kehidupan masyarakat manakala matlamatnya pula tertumpu kepada memperkasakan Malaysia sebagai sebuah negara kukuh dan mempunyai kepelbagaian nilai serta menjadikannya alat pembentukan negara.

“Rukun Negara juga adalah satu falsafah yang harus dijadikan pegangan hidup semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau bangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lam Thye berkata, Yayasan Perpaduan Malaysia juga ingin mencadangkan agar semua institusi pengajian di negara ini turut mendidik para pelajar akan kepentingan dan nilai-nilai yang dituntut oleh Rukun Negara.

Katanya, graduan hari ini perlulah menjadi insan yang bijaksana, cenderung kepada kebajikan, disulami nilai murni dan paling penting menjiwai negara.

“Justeru, usaha berterusan wajar dilaksanakan di seluruh pelosok negara ke arah memupuk kesedaran untuk menghayati dan mengamalkan Rukun Negara.

“Ini amat penting bagi kerajaan untuk mempromosikan Rukun Negara bagi menerangkan kepada rakyat terutamanya generasi muda apa makna sebenar Rukun Negara, mengapa ia diwujudkan dan tujuannya dari aspek mempromosi keharmonian, hormat-menghormati antara kaum, integrasi serta perpaduan.

“Rukun Negara membolehkan Malaysia menyatupadukan rakyatnya pelbagai kaum dan agama serta menjadi prinsip asas kepada kenegaraan yang perlu disemaikan di sanubari generasi muda kita yang menjadi pemimpin negara pada masa akan datang,” katanya

Sumber : Sinar Harian

19,111 PATI negatif COVID-19 sudah dihantar pulang

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah menghantar pulang 19,111 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang negatif COVID-19, setakat Selasa lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan daripada jumlah PATI dihantar pulang setakat 7 Julai lalu itu, kira-kira 45 peratus adalah warga Indonesia, selebihnya warga Bangladesh, Myanmar dan lain-lain.

“Tiga negara tertinggi yang terbabit adalah Indonesia dengan 8,575 PATI, Bangladesh dengan 2,584 PATI dan Myanmar dengan 1,890 PATI,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PATI yang didapati negatif COVID-19 mula dihantar pulang ke negara masing-masing secara berperingkat sejak awal bulan lalu, bermula dengan PATI warga Indonesia pada 6 Jun.

Sumber : BHonline