PeoplePostInsider

Zarina Anjoulie berjaya dapatkan penghakiman ingkar terhadap Amyza

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pelakon dan model, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap rakan seperjuangannya, Amyza Aznan dalam kes saman fitnah bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM3 juta.

Hakim Datuk Azimah Omar membenarkan permohonan Zarina Anjoulie selaku plaintif berikutan Amyza atau nama sebenarnya Azizah @ Amyza Aznan sebagai defendan gagal memfailkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman itu pada tarikh yang ditetapkan.

Sumber : Bernama

Kes Adib: Panggil Semula Saksi, Kesan Pembunuh Sebenar

Rakyat negara ini masih menanti tindakan tegas kerajaan dalam Kes Adib yang menjadi tumpuan hangat masyarakat.

Pada masa sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Hajah Zuraida Kamaruddin tegas meminta Polis DiRaja Malaysia untuk memanggil semula saksi kes. Beliau antara pimpinan politik yang mengikuti rapat Kes Adib.

Memetik kenyataan beliau dari BH Online pada 3 Julai 2020 lepas sebagai berkata, Polis Diraja Malaysia perlu memanggil semula semua saksi kes berkenan bagi mengesan pembunuh sebenar.

“Kes Adib sudah disahkan sebagai kes jenayah dan bukannya kemalangan. Bagaimanapun, hasil siasatan polis sebelum ini tidak dapat mengesan pelaku sebenar.

“Namun, apabila kes ini dibuka semula, saya berharap Kementerian Dalam Negeri dapat meneliti kembali dan bertemu dengan lebih 100 saksi berkaitan kes ini dan berharap penjenayah sebenar dapat ditemukan kali ini,” katanya.

Keadilan kes Adib bukan semata-mata berkait dengan sentimen politik dan perkauman tetapi ia adalah memperjuangkan keadilan buat barisan hadapan seperti anggota bomba.

Pengorbanan anggota bomba seperti Allahyarham Adib adalah atas tanggungjawab dan amanah tugas. Jika keadilan atas Adib gagal dikedepankan, maka barisan hadapan seperti anggota bomba akan berhadapan risiko ancaman jenayah semasa bertugas.

_PPI

Bukit Aman ambil keterangan 6 kakitangan Al Jazeera

Enam kakitangan Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman pagi ini untuk diambil keterangan mereka berkaitan dengan episod dokumentari ‘101 East’ yang menggambarkan penganiayaan terhadap pendatang tanpa izin oleh pihak berkuasa Malaysia semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mereka tiba di pejabat Bukit Aman pada pukul 8.50 pagi sambil diiringi oleh tujuh peguam yang diketuai oleh Hisham Teh Pok Teih.

Antara yang dipanggil termasuk wartawan Al Jazeera Drew Ambrose.

Lima yang lain turut terlibat dalam penghasilan dokumentari selama 25 minit itu.

Pengurusan Al Jazeera malam tadi mengatakan pihaknya mempertahankan dokumentari kontroversi itu dan menyatakan kebimbangan terhadap gangguan yang dihadapi oleh kakitangannya susulan reaksi balas terhadap dokumentari tersebut.

Sumber : MalaysiaKini

Al Jazeera nafi dokumentari mengelirukan, tidak tepat

KUALA LUMPUR: Agensi media antarabangsa, Al Jazeera menafikan dakwaan dokumentarinya bertajuk ‘East 101: Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ sebagai tidak tepat, mengelirukan serta tidak adil.

Dalam satu kenyataan malam tadi, agensi berita itu menegaskan bahawa laporan menerusi dokumentari terbabit berpegang kepada profesionalisme, kualiti dan kewartawanan yang tidak berat sebelah.

“Episod ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’, mengandungi pandangan dan pengalaman individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk doktor dan petugas barisan hadapan Malaysia.

“Al Jazeera mengiktiraf bahawa tindakan Malaysia berjaya membendung penularan COVID-19.

Program itu jelas menunjukkan, usaha kemanusiaan dilakukan oleh organisasi Malaysia yang menyediakan bantuan secara terus kepada warga asing yang memerlukan.

“Episod itu juga tidak mengandungi pendapat peribadi daripada mana-mana kakitangan Al Jazeera,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Al Jazeera berusaha mendapatkan kenyataan kerajaan, memohon mengadakan temubual bersama pegawai kanan kerajaan serta menteri, namun permohonan itu tidak diterima.

Malah, Al Jazeera cuba menghadiri sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun hanya media rasmi sahaja dibenarkan.

“Walaupun usaha menemubual pegawai kerajaan tidak berjaya, Al Jazeera masih manghasilkan dokumentasi yang seimbang dengan memasukkan kenyataan Menteri Kanan dari dua sidang medianya,” katanya.

Agensi berita itu turut melahirkan kebimbangan dengan siasatan polis terhadap kakitangannya.

Justeru, Al Jazeera meminta pihak berkuasa Malaysia supaya berhenti menjalankan sebarang siasatan jenayah berhubung perkara terbabit.

“Al Jazeera English sedia menemubual wakil kerajaan Malaysia yang ingin memberi maklum balas terhadap perkara yang ditimbulkan dalam dokumentari berkenaan,” katanya.

Ismail Sabri dalam sidang medianya sebelum ini menegaskan Malaysia mengecam laporan Al Jazeera yang membuat tuduhan membuta tuli terhadap usaha negara ini dalam mengawal penularan COVID-19, membabitkan warga asing.

Beliau berkata, laporan media berkenaan jelas tidak tepat dan berniat memburuk-burukkan nama baik Malaysia.

Katanya, tuduhan Malaysia tidak memberi layanan yang adil kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan adalah tidak benar, sebaliknya tindakan yang dibuat berdasarkan undang-undang.

Sumber : BHonline