PeoplePostInsider

Kempen Hari Jumaat Hari Jawi bermula hari ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Kempen Hari Jumaat Hari Jawi bermula hari ini, dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Menterinya, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata perkara itu disokong penuh oleh semua jemaah menteri dalam mesyuarat kelmarin.

“Bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan jawi bagi urusan rasmi.

“Di samping itu, penggunaan tulisan jawi di media sosial juga diperluaskan kepada setiap media sosial rasmi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya dalam satu kenyataan.

Zulkifli berkata, tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Malah, katanya tulisan Jawi menjadi bahasa perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perdagangan dan urusan seharian masyarakat sejak dahulu.

“Saya ingin menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat untuk bersama dalam usaha memelihara warisan negara ini,” katanya.

Sumber :BHonline

Masih belum dapat benih nak tanam hemp – Timb menteri

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan kerajaan masih belum memutuskan lagi keputusan penanaman hemp bagi tujuan perubatan susulan beberapa perkara yang belum selesai.

“Tentang borang-borang dan sebagainya yang belum lengkap diisi sebenarnya, jadi penanaman hemp ini belum dibuat keputusan oleh Kementerian Kesihatan.

“Saya difahamkan benih pun tak dapat lagi sebenarnya,” katanya ketika ditanya mengenai cadangan penanaman hemp di Kedah.

Menjelaskan lanjut, Noor Azmi berkata penanaman hemp ini merupakan “keputusan kerajaan lepas bukan kerajaan sekarang.”

“Walaubagaimanapun, saya ingat orang ramai sudah tahu persediaan plot-plot untuk penanaman di Kedah, adalah untuk menanam hemp untuk tujuan untuk kajian sama ada bagus untuk perubatan masih di peringkat awal…

“Itulah statusnya,” kata Noor Azmi (gambar, bawah) bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Malam Ramah Mesra Media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada 6 Nov 2019, menteri kesihatan pentadbiran PH ketika itu, Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan kerajaan akan membenarkan penanaman hemp, sejenis ganja daripada spesis Cannabis sativa bagi tujuan penyelidikan pihak industri.

Beliau dilaporkan berkata kebenaran itu adalah di bawah Seksyen 6B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana menteri kesihatan mempunyai kuasa untuk memberi izin penanaman hemp, untuk pengeluaran serat dan biji sahaja bagi tujuan bukan komersial.

“Bagaimanapun tarikh pelaksanaan kebenaran ini masih belum dapat diputuskan.

“Ia bergantung kepada perbincangan bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli,” kata Dzulkefly ketika itu.

Hemp yang merupakan tumbuhan hijau satu spesis dengan marijuana dari pokok yang digelar cannabis sativa.

Namun, yang membezakan keduanya adalah kandungan tetrahydrocannabinol (THC), dengan marijuana mempunyai sehingga 30 peratus dan dalam hemp hanya ada 0.3 peratus.

Selaian perubatan, hemp juga digunakan dalam produk makanan dan pakaian.

Noor Azmi pada 20 Jun lalu pula berkata Kedah antara lokasi yang dikenal pasti kerajaan bagi kebolehlaksanaan penanaman hemp untuk tujuan industri dan perubatan.

Menurutnya, usaha yang melibatkan beberapa pihak seperti Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu menjelaskan selain ubat-ubatan, hemp juga boleh dijadikan bahan untuk produk seperti baju, plastik, minyak dan biodiesel.

“Sekarang ini Ketsa perlu membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran menanam pokok ini.

“Saya difahamkan, mereka akan buat tanaman ini di Kedah dan persiapan sedang dibuat, namun penanaman masih belum dilakukan.

“Ini kerana masih ada beberapa maklumat yang dalam borang diberikan KKM kepada Ketsa masih belum selesai,” kata Noor Azmi.

Sumber : MalaysiaKini

Haji Tasmin bin Sakiban dipercayai pengasas sate di Malaysia.

TahukahAnda #Sejarah | Haji Tasmin bin Sakiban dipercayai pengasas sate di Malaysia.

Sate di Kajang dipelopori oleh Hj. Tasmin bin Sakiban pada tahun 1917. Beliau berasal dari Pulau Jawa, Indonesia. Pada tahun 1914, Hj. Tasmin tiba di Kajang melalui Sungai Langat dan beliau berlabuh di tebing Sungai Jelok (kini lokasi itu adalah belakang Plaza Metro).

Wak Darmon, iaitu bapa saudara Hj. Tasmin yang mengajaknya datang ke Kajang. Adik kandung Hj. Tasmin, iaitu Rono bin Sakiban sampai ke Kajang lebih awal iaitu pada tahun 1911. Hj Tasmin memulakan perniagaannya di Kajang dengan menjual sup dan nasi kepal atau ketupat.

Pada tahun 1917, Haji Tasmin memulakan perniagaan satenya. Pada ketika itu, semua pelanggan memakan sate dengan mencelup sate ke dalam satu mangkuk kuah yang besar.

Sate dijual secara berkandar di sekitar kawasan Kajang bermula dari Kampung Paya, Batu 14 hingga Pekan Kajang. Penjaja sate ini akan menyinggah ke rumah-rumah yang memanggilnya di sepanjang perjalanan.

Rono turut membantu Haji Tasmin untuk menjual sate secara sambilan. Beliau bekerja di ladang getah beberapa tempat seperti di West Country, Kajang. Maklum balas daripada pelanggan telah mengubah cara sajian sate.

Haji Tasmin memperkenalkan mangkuk besar dan kecil untuk setiap pelanggan. Para pelanggan tidak lagi berkongsi mangkuk untuk mencelup kuah sate. Kemudiannya mangkuk kecil dan cili disediakan untuk pelanggan yang inginkan rasa kuah yang pedas. Ada pendapat mengatakan Wak Darmon juga menjalankan perniagaan sate selepas Haji Tasmin. Perniagaan sate Wak Darmon diteruskan oleh anaknya Wak Bagong dan menantu lelakinya Rono Sakiban.

Pada awal 1940, sate dijual menggunakan kereta tolak dan berhenti di Kedai Kopi Ban Seng di Jalan Sulaiman sekarang. Pelanggan sate akan duduk di sekliling kereta tolak dan ada juga yang makan didalam kedai kopi.

Sate di Kajang seterusnya berkembang di gerai-gerai sate, medan sate lama dan baharu serta menerima tempahan untuk jamuan di semua peringkat. Sekarang sate dihidangkan di hotel-hotel besar dan juga dalam sistem Penerbangan Malaysia (MAS).

Sumber: Facebook Hj Azam Aziz

Pejabat Al Jazeera di Kuala Lumpur didesak tutup

Veteran UMNO mendesak supaya kerajaan menutup pejabat agensi berita antarabangsa, Al Jazeera di Kuala Lumpur kerana terbukti laporan dokumentari yang disiarkan melalui slot 101 East adalah fitnah dan cuba memburukkan nama Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, laporan bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang mendakwa terdapat diskriminasi perkauman ketika negara ini mengendalikan pandemik koronavirus (Covid-19) membabitkan warga asing jelas menunjukkan bahawa Al Jazeera cuba menyelewengkan fakta sebenar dan berniat jahat.

Menurutnya, laporan terbaharu agensi itu membuktikan bahawa kebenaran yang diberikan kerajaan kepada mereka untuk meletakkan wakil dan membuka pejabat mereka di Malaysia ternyata tidak menguntungkan negara.

Katanya, ia bukan bermaksud Malaysia mengawal supaya agensi berita itu hanya melaporkan perkara yang baik sahaja tentang negara ini kerana negara mengamalkan kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara.

“Laporan tentang Covid-19 ini jelas menunjukkan mereka ini berniat jahat hingga nama Malaysia menjadi buruk di mata dunia sedangkan Malaysia hakikatnya adalah salah satu negara yang terbaik dalam melaksanakan kerja-kerja menangani penularan Covid-19.

“Atas dasar itulah Veteran UMNO merasakan kerajaan wajar menutup pejabat Al Jazeera di Kuala Lumpur ini daripada membiarkan mereka ini terus menerus membuat laporan negatif tentang Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dokumentari Al Jazeera bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mendakwa terdapat isu perkauman dalam mengendalikan Covid-19 di Malaysia.
Sebelum ini laporan dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat itu menerima kecaman rakyat negara ini dan rentetan laporan tidak tepat yang dilaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu wakil Al Jazeera dan lelaki warganegara Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang muncul dalam dokumentari agensi itu.

Mengulas lanjut, Mustapha mendakwa, perbuatan Al Jazeera itu umpama mereka cuba menjadi ejen kepada sekumpulan orang luar yang memang tidak senang dengan kejayaan negara dan apa yang dicapai Malaysia khususnya dalam menangani Covid-19.

Tegas beliau, Al Jazeera tidak diperlukan di negara ini memandangkan Malaysia sudah mempunyai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang merupakan agensi kerajaan yang diiktiraf seluruh dunia dan mampu untuk menjadi sumber laporan kepada kerajaan yang lebih tepat dan lebih adil.

Justeru, katanya, sekiranya agensi berita luar seperti CNN, BBC dan Bloomberg, mereka boleh memetik atau mendapatkan berita itu daripada Bernama.

Tambah Mustapha, seperti yang diketahui ramai, Al Jazeera bekerja untuk Israel walaupun mereka beribu pejabat di Qatar, Doha.

“Al Jazeera cuba mengaburi mata dunia Islam dengan nama Al Jazeera dan meletakkan ibu pejabatnya di Qatar konon katanya untuk menandingi CNN dan sebagainya tapi terbukti Al Jazeera sedari dulu memang bekerja atas arahan pihak Zionis Yahudi,” katanya.

Mustapha mendakwa, kehadiran Al Jazeera di negara juga seperti diketahui mempunyai kaitan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana sejak dari dahulu lagi mereka cenderung melaporkan perkara-perkara yang menguntungkan PH tetapi merugikan kerajaan terdahulu Barisan Nasional.

Bagaimanapun, anggapan bahawa agensi berita tersebut ketika itu terpengaruh dengan situasi politik semasa meleset sama sekali kerana apabila diberikan ruang dan peluang untuk membetulkannya, ternyata agensi itu tidak mahu membetulkannya.

Dalam perkembangan sama, Mustapha berkata, Veteran UMNO turut mendesak supaya Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dalam usaha memburu dan mengenakan tindakan tegas ke atas wakil Al Jazeera dan lelaki Bangladesh berkenaan.

“Kita tahu Jabatan Imigresen dan PDRM sedang memburu wakil Al Jazeera dan pemuda Bangladesh jadi kita harap selepas tindakan dikenakan ke atas mereka mengikut undang-undang yang ditetapkan, mereka juga perlu dihalau dari Malaysia,” katanya.

Sumber : Sinar Harian